Belanjawan 2021 bukti kerajaan jaga kebajikan rakyat, kata Annuar

Iklan
Annuar ketika sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan kepimpinan UMNO negeri di Bangunan UMNO Kota Bharu hari ini.
 - Foto Bernama

KOTA BHARU - Pengumuman intipati Belanjawan 2021 yang memperuntukkan jumlah keseluruhan sebanyak RM322.5 bilion semalam membuktikan kerajaan menjaga kebajikan rakyat, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

Menurutnya, peruntukan itu juga menunjukkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mampu melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin walaupun negara berdepan dengan pandemik koronavirus (Covid-19).

Iklan
Iklan

"Oleh sebab itu, sangat penting bagi ahli Parlimen untuk mengambil sikap positif dalam membahaskan Belanjawan 2021. Jangan bersikap sengaja mencari salah dengan mensasarkan satu dua perkara sehingga tenggelamkan fokus utama yang perlu diketengahkan dalam belanjawan tersebut.

"Saya percaya mungkin sebahagiannya bersifat reaksi spontan selepas mendengar pembentangan belanjawan dan selepas beberapa hari, mungkin semua orang sudah boleh menghadamkannya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Iklan

Terdahulu, Annuar hadir pertemuan dengan kepimpinan UMNO negeri di Pejabat Perhubungan UMNO di sini.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, pihaknya akan menggunakan sebaik mungkin peruntukan yang telah diberikan kepada kementerian terutamanya untuk kesejahteraan bandar dan penduduk di Kuala Lumpur.

Iklan

Semalam Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan perbelanjaan kerajaan berjumlah RM322.5 bilion pada tahun hadapan adalah terbesar dalam sejarah.

Katanya, kerajaan bercadang untuk memperuntukkan RM236.5 bilion bagi perbelanjaan mengurus, RM69 bilion bagi perbelanjaan pembangunan dan RM17 bilion di bawah Kumpulan Wang Covid-19.