Pelantikan Yadim: 'Zamihan akan jawab surat tunjuk sebab’

Iklan
Zamihan

SHAH ALAM - Pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Dr Zamihan Mat Zin mempertahankan tindakannya mengkritik pelantikan Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) kerana apa yang dilakukan beliau atas dasar agama, bukannya politik.

Menurut sumber rapat dengan Zamihan, penjawat awam yang turut dikenali sebagai pendakwah itu juga terbuka dan positif apabila diberikan surat tunjuk sebab oleh Jakim selepas lantang mengkritik lantikan politik dalam yayasan yang diterajui Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Iklan
Iklan

"Mengikut surat tunjuk sebab itu, Zamihan perlu memberikan jawapan atas alasan sebagai penjawat awam tidak seharusnya mempertikaikan dasar kerajaan.

"Beliau menerima surat tunjuk sebab itu semalam dan dijangka menyerahkan kepada pihak atasan pada 7 Februari ini bagi menjawab dan memberi alasan munasabah berhubung tindakannya itu.

Iklan

"Beliau positif dan berlapang dada menerima tindakan yang dikenakan itu kerana beliau benar-benar ingin melihat agensi agama dan dakwah yang penting buat umat Islam itu perlu bebas daripada cengkaman politik.

"Zamihan juga memberitahu sekiranya jawapan tunjuk sebab yang bakal diserahkan nanti tidak diterima oleh pihak berkenaan, beliau akan meminta majikannya membuat pendengaran hak supaya suaranya dapat didengari nanti,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, hari ini.

Iklan

Menurut sumber itu lagi, Zamihan telah kembali bertugas di Jakim sejak Julai tahun lalu selepas beberapa ketika dipinjamkan ke Kementerian Dalam Negeri (KDN) sewaktu pemerintahan BN.

"Beliau kini telah kembali bertugas di bahagian penerbitan Jakim dan kini sedang bercuti, namun surat tunjuk sebab itu akan dibalas mengikut tempoh yang ditetapkan,”katanya.

Terdahulu, Zamihan atas kapasitinya sebagai Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja), mendesak kerajaan PH tidak 'melacurkan' institusi agama Islam demi kepentingan politik.

Desakan itu dibuat selepas tidak berpuas hati dengan lantikan dalam agensi dakwah itu diisi oleh ramai ahli politik kerajaan, selain pelantikan Adun Paloh dari DAP, Sheikh Omar Ali.

Zamihan dilaporkan berkata, Yadim menjadi mangsa kerakusan pemimpin politik PH dan agensi dakwah itu telah dijadikan alat politik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof kelmarin dilapor memberi amaran kepada pihak yang terus memperkai lantikan Adun Paloh, Sheikh Omar Ali sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yadim.