IPOH - Seorang pegawai bomba ditemukan meninggal dunia berhampiran sebuah kebun di Jalan Tanjung Bakti, Tanjung Rambutan di sini hari ini.
Ahmad Fadzilah Tahir, 59, yang merupakan Penolong Penguasa Bomba di Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya, Selangor ditemui dalam keadaan tertiarap di atas jalan dengan beberapa kesan cedera di tangan dan muka oleh orang awam kira-kira jam 11.45 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, panggilan awal diterima memaklumkan berlaku kemalangan jalan raya membabitkan sebuah motosikal jenis Modenas Kriss di kawasan itu.
Menurutnya, siasatan kemudiannya mendapati, mangsa ketika kejadian menunggang motosikal sendirian dari kebun hendak balik ke rumah sebelum terjatuh bersama kenderaan dan meninggal dunia di lokasi itu.
"Hasil temubual bersama ahli keluarga mendapati, mangsa yang beralamat dari Kampung Tersusun Batu 8, Ulu Kinta di sini balik bercuti untuk meninjau keadaan kebunnya.
"Semakan juga mendapati mangsa mempunyai penyakit jantung dan darah tinggi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.
Beliau berkata, punca kematian mangsa hanya akan diketahui sebaik proses bedah siasat selesai di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, esok.
"Buat masa ini kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.