PENYERANG Pahang Dickson Nwakaeme memberi bayangan bakal meninggalkan skuad Tok Gajah akhir musim ini, selepas kekalahan 2-3 kepada pasukan Kedah pada aksi TM Piala Malaysia Stadium Darul Aman, semalam.
Pemain berusia 34 tahun dari Nigeria itu berkata, beliau sedia bertanggungjawab di atas kekalahan dihadapi skuad Pahang dan meminta agar peminat bola sepak Pahang tidak mengkritik pemain lain.
Iklan
Iklan
"Jika mahu berkata sesuatu, katakan kepada saya bukan pemain lain. Dalam keadaan baik, semua menyebut nama saya dan saya gembira. Saya juga mahu dikritik kerana rakan-rakan sepasukan saya telah berikan segalanya (untuk perlawanan).
"Cuma kami tidak bernasib baik untuk menang ke atas pasukan bagus. Saya sentiasa berikan yang terbaik apabila menyarung jersi Pahang. Namun, kadang-kadang yang terbaik itu tidak mencukupi. Lebih menyedihkan ini adalah perlawanan terakhir saya bersama Pahang," katanya dalam hantaran di Instagramnya.
Pada perlawanan itu, tuan rumah mendahului selesa dengan kedudukan 3-0 pada babak pertama menerusi jaringan Muhammad Shakir Hamzah pada minit ke-17, diikuti gol Kpah Sherman dan Kipre Tchetche masing-masing pada minit ke-36 dan 44.
Pahang bangkit pada separuh masa kedua menerusi gol Muslim Ahmad pada minit ke-49 dan Mohd Faizal Abdul Rani pada minit ke-88.
Skuad kendalian Dollah Salleh itu turut dihadiahkan sepakan penalti namun gagal disempurnakan oleh Nwakaeme semalam untuk gol kedua pasukan. - Bernama