Ketua Anak Negeri di Sabah tiada kuasa keluar surat sah nikah

Iklan
Datuk Aidi Moktar

TAWAU - Ketua Anak Negeri tidak mempunyai hak atau kuasa untuk mengeluarkan surat pengesahan pernikahan kepada pasangan Islam di Sabah yang tidak berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).

Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Aidi Moktar berkata kuasa mengesahkan itu hanya terletak pada bidang kuasa Mahkamah Syariah dan perkara itu jelas terdapat dalam peruntukan di bawah Seksyen 9 Enakmen Mahkamah Anak Negeri 1992

Iklan
Iklan

"Ketua-ketua Anak Negeri tidak ada kuasa, kalau ada ini mungkin kes terpencil dan dia (merujuk kepada Ketua Anak Negeri) mungkin jahil dalam hal tersebut," katanya kepada Bernama.

Bernama difahamkan terdapat surat pengesahan nikah dikeluarkan daripada pejabat Ketua Anak Negeri di salah sebuah daerah di Sabah.

Iklan

Dalam pada itu, Aidi berkata mana-mana perkara berkaitan agama Islam hendaklah dirujuk ke Mahkamah Syariah manakala orang bukan Islam merujuk kepada Mahkamah Anak Negeri.

Sementara itu, beliau turut menasihatkan pasangan Islam yang bernikah menggunakan imam tidak bertauliah atau imam kampung agar merujuk status perkahwinan mereka ke JHEAINS sekali gus bagi mendaftar perkahwinan.

Iklan

"Nasihat ini bagi mengelakkan mereka ini berhadapan masalah terutamanya melibatkan persekolahan serta perkahwinan anak perempuan mereka kelak.

"Misalnya jika anak perempuan mereka mahu berkahwin maka jurunikah bertauliah akan meminta surat kahwin ibu bapa perempuan itu," katanya.

Bernama turut difahamkan terdapat ramai pasangan islam di pantai timur Sabah berkahwin menggunakan khidmat jurunikah tidak bertauliah atas sebab-sebab tertentu.- Bernama