Covid-19: Empat lagi kluster baharu dikesan

Iklan
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesan empat lagi kluster baharu koronavirus Covid-19 melibatkan negeri Sabah, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Sarawak.- Gambar hiasan

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesan empat lagi kluster baharu koronavirus Covid-19 melibatkan negeri Sabah, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Sarawak.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata di Sabah, Kluster Softwood LD di Lahad Datu membabitkan kes indeks (ke-34,985) yang dikesan positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 30 Oktober lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hasil saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 13 lagi kes positif Covid-19 dan semua yang terlibat dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah PPR Payang, Lahad Datu.

"Sehingga 12 tengah hari ini, sejumlah 109 individu telah disaring dengan 14 kes dikesan positif termasuk 11 kes baharu manakala 95 individu masih menunggu keputusan,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 di KKM hari ini.

Iklan

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, di Selangor pula, Kluster Teratai dikesan di daerah Klang, Kuala Selangor, Petaling dan Hulu Langat membabitkan kes indeks (ke-35,263) juga dikenal pasti positif hasil saringan individu bergejala pada 2 November lalu.

"Saringan kontak rapat mengesan sebanyak 73 lagi kes positif dan semua kes dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

Iklan

"Sehingga hari ini, seramai 101 individu disaring dengan 74 kes positif Covid-19 termasuk 58 kes baharu, 17 individu negatif manakala 10 individu masih menunggu keputusan, kata beliau.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata di Kuala Lumpur, Kluster Tapak Bina Damanlela dikesan melibatkan daerah Lembah Pantai, Kepong dan Titiwangsa.

"Kes indeks (ke-37,814) telah dikenal pasti positif hasil saringan tahanan pada 6 November dan saringan kontak rapat mengesan sebanyak 14 lagi kes positif Covid-19. Kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

"Sehingga hari ini, 292 individu telah disaring dengan 15 kes dikesan positif Covid-19 termasuk 13 kes baharu, 269 individu lagi negatif dan lapan individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Kluster baharu yang turut dikesan ialah Kluster Mahkota melibatkan daerah Hulu Langat di Selangor; Kepong dan Titiwangsa di Kuala Lumpur; Putrajaya serta Sibu, Sarawak.

Dr Noor Hisham berkata, kes indeks (ke-32,385) telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan kontak rapat pada 30 Oktober lalu dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

"Saringan kontak rapat seterusnya mengesan lapan lagi kes positif. Sehingga hari ini, sejumlah 56 individu disaring dengan sembilan kes dikesan positif COVID-19, 28 individu negatif dan 19 individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Kluster Bah Puchong melibatkan Kuala Lumpur, Selangor dan Perak diisytiharkan tamat hari ini.

Sehingga 7 November lalu, seramai 88 orang telah disaring dalam kluster itu yang menyaksikan 14 kes positif Covid-19 manakala 74 lagi negatif. - Bernama