ALOR GAJAH - Belanjawan 2021 yang dibentangkan semalam membuktikan keprihatinan kerajaan kepada rakyat khususnya dalam usaha memerangi penularan pandemik Covid-19 yang semakin mencabar dengan peningkatan kes sejak kebelakangan ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, pelbagai pakej dan bantuan diperuntukkan khususnya kepada penduduk luar bandar serta golongan B40 bagi mengurangkan beban rakyat ketika berdepan pandemik itu.
Iklan
Iklan
"Kerajaan memahami kesukaran dan kesusahan masyarakat daripada semua peringkat, jadi saya jangka pakej dan bantuan yang diperuntukkan setidak-tidaknya boleh menggembirakan mereka khususnya dalam mengharungi cabaran pandemik Covid-19 ini.
"Saya yakin sekiranya pandemik ini berlarutan lebih panjang melangkaui 12 bulan pada tahun depan, kerajaan pasti menambah baik bantuan berkenaan agar dapat memberi kebaikan kepada semua masyarakat," katanya selepas merasmikan Pelancaran Pusat Komuniti dan Mesyuarat Agung 2020 Persatuan Penganut Dewi Sri Maha Mariamman Pulau Sebang di sini hari ini.
Semalam, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan tambahan peruntukan sebanyak RM1 bilion bagi membendung gelombang ketiga Covid-19 termasuk RM150 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk menyelaras usaha memerangi pandemik itu.
Mohd Redzuan berkata, Nadma akan memastikan penyelarasan usaha memerangi Covid-19 akan dipertingkat dan diperketat khususnya aspek prosedur operasi standard ketika mengurus mangsa banjir terutama di pantai timur dan Sabah sepanjang musim monsun timur laut ini.
"Itu peruntukan permulaan dan kita ada tabung khas untuk menambah jumlah tersebut agar peruntukan sentiasa ada dalam menghadapi segala bentuk bencana khususnya dalam tempoh Covid-19 ini," katanya. - Bernama