KUALA TERENGGANU - Kelab Kebudayaan Kesun Malaysia akan menampilkan seramai 27 ahli daripada pebagai bangsa untuk beraksi dalam persembahan tarian singa sempena Tahun Baharu Cina.
Pengerusinya, Alex Ong Yeok Leng berkata, kombinasi itu bakal menghangatkan sambutan Tahun Baru Cina di sekitar Terengganu yang akan disambut masyarakat Tionghoa tidak lama lagi.
"Seramai 15 ahli terdiri dalam kalangan Melayu, enam Tionghoa dan seorang berketurunan Siam akan terlibat.
"Tarian singa adalah kebudayaan dan tiada kaitan dengan keagamaan. Ia juga satu hiburan yang boleh disertai pelbagai bangsa dan agama," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Alex berkata, tarian singa kali ini diramal lebih meriah kerana ia akan digabungkan bersama maskot Disney, Donald Duck, Pikachu, Mario, Doraemon dan beberapa maskot kebudayaan lain.
Katanya, sebanyak RM65,000 dibelanjakan bagi menyiapkan kostum singa dan maskot baharu sebagai persiapan persembahan Tahun Baharu Cina kali ini.
"Pasukan ini akan berada di Mydin Mall Kuala Terengganu pada hari pertama Tahun Baharu Cina.
"Pada hari kedua pula kita dijangka berada di Mydin Mall Gong Badak, Kuala Nerus sebelum ke Hotel Primula, Hotel Continental, Tanjung Jara Beach Resort, Taaras Beach and Spa Resort, Pulau Redang dan Kedai Kasut You.
"Saya mengalu-alukan kehadiran ramai untuk menyaksikan persembahan yang hanya diadakan setahun sekali," katanya.
Pasukan Tarian Singa Kesun ditubuhkan sejak 1986 dan aktif mengadakan persembahan sehingga kini.