MUKADIMAH: Belanjawan 2021 yang dibentangkan Jumaat lalu menyediakan peruntukan mencecah RM322.5 bilion, jumlah terbesar dalam sejarah negara.
Angka sebesar itu sememangnya amat diperlukan bagi melindungi rakyat dan menyokong petugas barisan hadapan ketika penularan pandemik Covid-19 hampir melumpuhkan ekonomi dunia.
Dalam wawancara bersama Sinar Ahad minggu ini, Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff mengulas apa yang tersirat dan tersurat di sebalik belanjawan sulung kerajaan Perikatan Nasional itu.
Penganalisis Ekonomi daripada Putra Business School (PBS) itu turut memberi pandangan mengenai ‘siapa untung, siapa melopong’ di sebalik perbelanjaan paling tinggi tersebut.
Ikuti wawancara bersama beliau susulan pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat Jumaat lalu.
SINAR AHAD: Peruntukan Belanjawan 2021 sebanyak RM322.5 bilion adalah yang terbesar dalam sejarah bajet di Malaysia. Pada pandangan Prof, angka ini menggambarkan apa?
AHMED RAZMAN: Peruntukan belanjawan yang terbesar dalam sejarah Malaysia ini menggambarkan situasi yang tidak pernah dihadapi oleh negara kita iaitu bagaimana negara kita harus menghadapi dua krisis dalam satu masa iaitu krisis kesihatan dan krisis ekonomi.
Buat kali pertama satu peruntukan khas berjumlah RM17 bilion di bawah Kumpulan Wang Covid-19 diberi selain cadangan kerajaan untuk mengemukakan pindaan Jadual Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019) supaya siling Kumpulan Wang Covid-19 dinaikkan sebanyak RM20 bilion ringgit kepada RM65 bilion.
Ini juga menyebabkan defisit belanjawan menjadi -5.4 peratus pada tahun hadapan sekali gus memungkinkan kerajaan terpaksa menambah hutang baharu pada tahun hadapan. Namun saya melihat masih ada ruang untuk kerajaan menambah hutang dengan syarat kerajaan terus memantau dan meneliti keseluruhan pendedahan fiskal bagi memastikan risiko dapat dikenal pasti dan diurus melalui pelan mitigasi.
Pemantauan ini akan lebih berkesan jika konsolidasi data dapat dijalankan dengan lebih sistematik dan meneroka alternatif kepada sistem monetari negara.
Dalam keadaan ekonomi merudum dan perniagaan terjejas, daripada manakah kerajaan mendapat sumber kewangan?
Jika kita merujuk kepada dokumen Tinjauan Fiskal & Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2021 yang boleh dimuat turun di laman web Kementerian Kewangan, sumber kewangan pada 2021 akan diperoleh daripada dua sumber iaitu sumber hasil cukai sebanyak RM174.37 bilion dan sumber hasil bukan cukai RM62.53 bilion, menjadikan jumlah keseluruhan jangkaan hasil ialah RM236.9 bilion.
Hasil bukan cukai dijangka lebih rendah dari tahun sebelumnya kerana kerajaan menjangkakan pulangan pelaburan daripada agensi kerajaan seperti Khazanah dan Petronas akan menurun disebabkan kelembapan ekonomi domestik dan global.
Walaupun jangkaan harga minyak kekal rendah sekitar AS$40 setong pada tahun ini, namun masih ada ruang untuk kerajaan mendapatkan hasil berkaitan petroleum terutamanya cukai pendapatan petroleum untuk tahun hadapan.
Dengan jangkaan ekonomi akan kembali pulih pada suku tahun keempat tahun ini dan awal tahun hadapan, kerajaan menyasarkan sumber hasil cukai akan meningkat daripada hasil cukai langsung terutamanya cukai pendapatan syarikat, cukai pendapatan individu, cukai petroleum dan cukai tidak langsung seperti SST.
Sejauh manakah input pembangkang direalisasikan dalam Belanjawan 2021?
Permintaan pembangkang untuk melanjutkan moratorium diterima oleh kerajaan tetapi dengan sedikit penyesuaian iaitu tertumpu kepada golongan B40 yang berdaftar di bawah BPR dan perusahaan mikro. Ini menyebabkan golongan M40 dan PKS yang terkesan tidak dapat menikmati moratorium ini lagi. Saya merasakan pihak pembangkang akan berkeras supaya golongan M40 dan PKS turut diberi peluang untuk mendapatkan kemudahan moratorium ini.
Selain itu permintaan pembangkang untuk meningkatkan peruntukan sektor pendidikan dan kesihatan diterima dengan baik oleh pihak kerajaan.
Namun kita melihat beberapa permintaan yang spesifik untuk membantu pekerja seperti insentif Malaysia@Work dan bonus kepada barisan hadapan telah diubah suai oleh kerajaan selaras dengan kekangan peruntukan untuk maksud tersebut.
Usaha ke arah pendigitalan seluruh negara seperti menaik taraf infrastruktur dan memberi kemudahan pembelajaran kepada pelajar seperti komputer riba turut dipertimbangkan oleh kerajaan tetapi lebih terhad dari segi peruntukannya.
Oleh itu saya melihat walaupun kerajaan menerima cadangan daripada pembangkang, pelaksanaannya masih tertakluk kepada keutamaan yang diberi dalam belanjawan ini dan akibatnya cadangan dari pembangkang bukanlah seratus peratus diterima.
Siapa yang paling untung dan siapa pula yang melopong kali ini?
Kalau dilihat sepintas lalu, golongan yang paling untung ialah golongan B40 dan golongan yang terjejas teruk akibat pandemik dan kemelesetan ekonomi. Namun golongan yang melopong mungkin golongan isi rumah M40 yang berpendapatan melebihi RM5,000, duduk di bandar dan mempunyai ahli keluarga yang ramai.
Selain itu, PKS dalam sektor pelancongan juga masih mengharapkan insentif kerajaan untuk membolehkan mereka mengekalkan pekerja mereka dalam tempoh yang lebih lama dan melancarkan kempen menggalakkan pelancongan domestik.
Golongan pekerja secara am juga mengharapkan lebih banyak wang masuk ke dalam akaun bank mereka setiap bulan melalui peningkatan gaji minimum atau caruman KWSP turun ke 7 peratus seperti sebelum ini.
Pengeluaran wang daripada akaun satu KWSP tidak seperti yang diharapkan ramai orang. Apa rasionalnya pengeluaran dihadkan RM500 sebulan kepada golongan yang hilang pekerjaan?
Saya melihat rasional dihadkan kepada RM500 sebulan lebih bertumpu kepada golongan yang terjejas dari segi tidak mampu menampung komitmen hutang bulanan. Sebelum ini mereka mengeluarkan wang dari akaun dua KWSP sebanyak RM500 sebulan dan ini berakhir pada bulan Mac tahun hadapan.
Jika mereka masih mengalami kesukaran untuk membayar hutang bulanan seperti pinjaman kereta, mereka kini boleh mengeluarkan wang dari akaun satu KWSP supaya mampu meneruskan pembayaran hutang sehingga akhir tahun hadapan.
Ini dianggap perlu bagi mereka kerana ramai yang tidak mendapat lanjutan moratorium lagi. Sekurang-kurangnya mereka ada masa setahun lebih lagi untuk menambah pendapatan supaya boleh menampung komitmen hutang bulanan mereka.
Apakah kerajaan telah benar-benar memainkan peranan dalam mewujudkan peluang pekerjaan baharu untuk rakyat?
Saya amat tertarik dengan Skim Jaminan Penjanaan Pekerjaan (JanaKerja) yang akan dilaksanakan tahun hadapan yang komited untuk menyediakan 500,000 peluang pekerjaan baharu dan menyediakan pelbagai program peningkatan kemahiran dan latihan semula melalui perbelanjaan RM3.7 bilion.
Insentif Penjana Kerjaya di bawah Perkeso juga merupakan inisiatif yang bagus yang dijangka akan menyediakan peluang pekerjaan kepada 250,000 pencari kerja. Satu lagi inisiatif yang saya alu-alukan ialah Majlis Pekerjaan Negara yang akan menyelaras pelbagai inisiatif merentas kementerian dan agensi dalam mencipta peluang pekerjaan, peningkatan kemahiran dan latihan pekerja.
Sebelum ini ada pihak yang mencadangkan perbankan pekerjaan iaitu mengambil seramai yang boleh mereka yang menganggur pada masa ini. Cadangan ini diambil kira oleh kerajaan melalui inisiatif MySTEP yang menawarkan 50,000 peluang pekerjaan secara kontrak dalam sektor awam dan syarikat GLC.
Adakah Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) berjumlah RM6.5 bilion dapat membantu rakyat untuk mengharungi cabaran pada tahun depan?
Saya melihat BPR ini lebih bersasar berbanding sebelumnya. Ini adalah bagus kerana ia memastikan golongan yang benar-benar terkesan akan mendapat bantuan ini.
Faktor bilangan anak, menurunkan had pendapatan untuk isi rumah M40 kepada RM5,000 dan menurunkan had umur belia kepada 21 tahun dianggap sebagai usaha kerajaan memastikan peruntukan sebanyak RM6.5 bilion itu akan benar-benar memanfaatkan lebih ramai penerima yang teruk terjejas iaitu seramai 8.1 juta orang.
Namun kita kena faham bahawa BPR ini hanya bersifat ‘one-off’ atau sekali sahaja dalam setahun dan tidak mampu membolehkan penerima mengharungi kos seharian sepanjang tahun hadapan.
Oleh itu, ia lebih bersifat kepada bantuan kewangan untuk individu yang memerlukan bantuan tunai pada satu masa tertentu sahaja. Untuk mengharungi cabaran pada tahun hadapan, golongan ini harus mendapatkan pelbagai bantuan lain yang disediakan oleh kerajaan dalam belanjawan ini dan juga bantuan lain seperti zakat dan sumbangan pihak tertentu.
Apakah perkara yang sepatutnya mendapat peruntukan lebih besar dan apakah yang perlu dikurangkan dalam belanjawan ini?
Saya melihat sektor utama seperti pendidikan dan kesihatan harus sentiasa mendapat peruntukan yang lebih besar. Apabila diumumkan bahawa sektor pendidikan mendapat peruntukan terbesar iaitu RM50.4 bilion, saya sedikit keliru kerana Belanjawan 2020 memperuntukkan sebanyak RM64.1 bilion kepada sektor pendidikan.
Mungkin kerajaan boleh menerangkan dengan lebih jelas sama ada memang benar peruntukan ke atas pendidikan telah menurun sebanyak RM13.7 billion atau ada beberapa lagi peruntukan kepada pendidikan yang tidak dimasukkan dalam jumlah RM50.4 bilion ini.
Merujuk kepada sektor kesihatan, saya melihat peruntukan mengurus dan pembangunan untuk tahun 2021 adalah lebih besar daripada tahun 2020 terutamanya peruntukan pembangunan. Ini amat penting kerana kita lihat banyak hospital awam amat memerlukan peruntukan tambahan untuk menaik taraf kemudahan di samping keperluan untuk menambah bilangan hospital, klinik kesihatan dan peralatan kesihatan.
Ada juga pihak yang mempersoalkan penubuhan kembali Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dengan peruntukan RM85.5 juta kerana dulu JASA dianggap lebih kepada membantu kerajaan BN untuk mengekalkan kuasa melalui aktiviti propaganda. Mungkin kali ini kerajaan PN boleh menerangkan kepada rakyat justifikasi mewujudkan kembali JASA ini.
Ada pihak mengatakan tiada idea baharu dalam belanjawan kali ini. Apa pandangan Prof?
Walaupun kita mempunyai kerajaan baharu dan Menteri Kewangan yang baharu, pasukan Kementerian Kewangan yang menyediakan Belanjawan setiap tahun adalah masih pasukan yang sama. Oleh itu tema dan konsep belanjawan ini tidak lari dengan banyak dari belanjawan sebelum ini, cuma tahun hadapan ia lebih bertumpu kepada pemulihan ekonomi. Mungkin apabila ekonomi dan krisis kesihatan berjaya diatasi sepenuhnya tahun hadapan, kita akan menyaksikan belanjawan yang lebih inovatif, dinamik dan terkehadapan dalam mencuba sesuatu yang baharu untuk melonjakkan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi.
Mengenai cukai korporat dan individu, adakah ia beri kesan kepada perniagaan dan rakyat?
Cukai korporat dan individu adalah sumber penting kepada hasil kerajaan dan pada masa ini saya melihat kadar cukai yang dikenakan kepada syarikat dan individu adalah munasabah terutamanya kepada golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana, serta PKS.
Beberapa inisiatif pelepasan cukai yang diperkenalkan dalam Belanjawan 2021 ini amat membantu syarikat dan individu. Saya juga melihat ada ruang lagi untuk kerajaan mengenakan kadar cukai yang lebih tinggi kepada syarikat-syarikat besar yang mencatatkan keuntungan yang luar biasa terutamanya semasa zaman pandemik ini, termasuk individu yang mendapat pendapatan tinggi kerana kerajaan telah banyak membantu mereka sebelum ini.
ANEKDOT
‘Apa saya dapat daripada Belanjawan 2021?’
Secara peribadi, saya sekeluarga tidak banyak menerima manfaat daripada Belanjawan 2021 ini, lebih tertumpu kepada kenaikan had pelepasan cukai ke atas perbelanjaan rawatan perubatan diri, pasangan dan anak bagi penyakit serius, perbelanjaan pemeriksaan kesihatan dan perbelanjaan rawatan perubatan, keperluan khas dan penjagaan ibu bapa.
Selain itu had pelepasan cukai pendapatan bagi gaya hidup dinaikkan daripada RM2,500 kepada RM3,000 dan kini merangkumi bayaran penyertaan pertandingan sukan dan langganan surat khabar elektronik.
Begitu juga pelepasan cukai sehingga RM8,000 bagi simpanan bersih Skim Simpanan Pendidikan Nasional yang dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2022.
Pengalaman pertama sebagai pengulas sesi bajet
Pengalaman pertama saya mengikuti pembentangan Belanjawan sebagai pengulas ialah pada 1 Oktober 2012 apabila mengulas mengenai Bajet 2013. Ketika itu saya baru sahaja tiga tahun pulang dari luar negara selepas selesai pengajian PhD saya.
Sejak itu, saya dijemput untuk mengulas belanjawan negara setiap tahun dan saya dapat melihat evolusi belanjawan ini dari tiga kerajaan berbeza. Setiap kerajaan ada cara penyampaian belanjawannya dan itu yang menyebabkan saya sentiasa teruja dan bersemangat dalam mengulas belanjawan negara setiap tahun.
Bagi saya, belanjawan yang dibentangkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini merupakan belanjawan yang saya tidak dapat lupakan kerana mungkin kerajaan yang membentangkannya adalah berbeza.
Ramal ekonomi pulih selepas vaksin ditemui
Saya melihat ekonomi tahun hadapan masih lagi terkesan dengan faktor global yang tidak menentu seperti pandemik Covid-19, kemelesetan ekonomi dunia, ketidakstabilan harga komoditi dan isu geopolitik yang tidak menentu terutamanya melibatkan negara-negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat, China, Rusia dan Kesatuan Eropah.
Walaupun ada beberapa indikator ekonomi telah menunjukkan pemulihan positif seperti jumlah eksport, kadar pengangguran dan pertumbuhan KDNK setiap suku tahun, namun saya melihat semua indikator ini boleh terkesan kembali jika pandemik Covid-19 menjadi lebih serius di dalam negara kita.
Oleh itu sukar untuk kita membayangkan gambaran ekonomi tahun hadapan melainkan vaksin untuk Covid-19 telah ditemui dan semua negara mula membuka sempadan masing-masing untuk tujuan perdagangan, pelancongan dan sebagainya.
INFO PROFIL
Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff
PENDIDIKAN
PhD Tadbirurus Korporat (Liverpool John Moores University, UK)
Sarjana Penyelidikan Perakaunan & Pengurusan Kewangan (Lancaster University, UK)
Sarjana Perakaunan (Nanyang Technological University, Singapura)
Sarjana Muda Perakaunan dan Kewangan (Lancaster University)KERJAYA DAN SUMBANGANPenganalisis Ekonomi
Profesor Madya di Putra Business School (PBS)
Ahll Bersekutu Institut Akauntan Malaysia (MIA)
Naib Presiden Persatuan Penulis-Penulis Kes Malaysia (CWAM)
Pemilik syarikat berasaskan teknologi dalam bidang veterinar