Kekalahan tipis 0-1 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi TM Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin kelmarin dilihat sebagai pencapaian membanggakan buat kesebelasan Kuching FC.
Pengendali Kuching FA, Akira Higayashima berkata, kesebelasan pemain mempamerkan aksi terbaik apabila berjaya memberikan saingan sengit kepada skuad Harimau Selatan itu.
Malah menurutnya, dia sangat berpuas hati dengan aksi yang dipamerkan kesebelasan pemain di sepanjang perlawanan berkenaan.
"Bagi saya, keputusan ini adalah yang berhak untuk kami perolehi berdasarkan aksi terbaik daripada kesebelasan pemain. Tambahan pula mereka berjaya memberikan saingan kepada sebuah pasukan yang kuat seperti JDT yang dibarisi ramai pemain handalan,.
"JDT memiliki pemain import yang berkualiti selain pemain tempatan yang juga pemain skuad kebangsaan,” katanya.
Sementara itu, Higayashima berkata, dia akan memastikan skuad berkenaan akan kembali dengan lebih kuat jika khidmatnya masih dikekalkan di Kuching FA musim depan.
Katanya, debut skuad kendaliannya dalam saingan Liga Premier kali ini pastinya akan menjadi pengalaman yang cukup berharga bagi mengharungi saingan musim 2021.
"Saya sendiri masih belum pasti, namun jika khidmat saya masih kekal bersama Kuching FA musim depan, saya akan berikan yang terbaik untuk pasukan ini muncul selaku pencabar dalam saingan Liga Premier 2021,” katanya.