Bidang ternakan arnab meningkat

Iklan
Che Abdullah (dua dari kanan) ketika lawatan kerja di Projek Ternakan Arnab Pedaging FJ Rabbitry Tapah Road di Tapah semalam.

TAPAH - Bidang penternakan arnab pedaging meningkat dengan mendadak apabila Perak mencatatkan seramai 95 penternak berbanding 62 orang tahun lalu.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, populasi arnab turut meningkat tiga kali ganda apabila mencecah 15,000 ekor dalam tempoh sama.

Iklan
Iklan

Menurutnya, perkembangan positif itu hasil inisiatif kementerian yang menggalakkan penglibatan usahawan muda menerusi bantuan Geran Agropreneur Muda.

"Daerah Batang Padang merupakan daerah tertinggi bilangan penternak dan arnab di negeri ini. Lokasinya juga strategik kerana berhampiran dengan Lembah Klang yang merupakan tempat jualan daging arnab utama penternak.

Iklan

"Disebabkan itu, pasaran daging arnab ini sangat luas. Usaha berterusan dijangka mampu menjadi alternatif baharu kepada sumber protein negara, tambahan ia tidak memerlukan kos yang tinggi selain memberi pulangan yang cepat dan lumayan,” katanya ketika lawatan kerja ke Kedai Pembekal Input Pertanian dan Penternakan FJ Trading, Langkap dan Projek Ternakan Arnab Pedaging FJ Rabbitry Tapah Road di sini semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin dan Pengarah Perkhidmatan Veterinar Perak, Dr Ahmad Sharif Hassan.

Iklan

Che Abdullah bagaimanapun berkata, penternakan arnab yang ada kini masih belum dapat memenuhi sepenuhnya jumlah permintaan yang tinggi.

Justeru, beliau menyarankan usahawan muda supaya menceburi bidang berkenaan dengan mendapatkan latihan dan kursus yang disediakan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak selain menyertai Koperasi Arnab.

"Jabatan Veterinar akan membantu dari segi penganjuran kursus, bengkel, peralatan dan sebagainya. Sehingga bulan lalu, seramai 15 penternak muda diberi bantuan untuk berkecimpung dalam sektor ini.

"Penternak digalakkan untuk menyertai koperasi ini agar penjualan arnab pedaging dapat diperluaskan seluruh negara selain menerima faedah lain.

"Sewajarnya penternak di luar sana dapat mendaftar supaya kerajaan dapat membimbing usaha mereka itu agar lebih berjaya,” katanya.