KEPALA BATAS - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan terus komited untuk melonjakkan pembangunan belia dan sukan, seiring dengan peruntukan yang telah disalurkan kepada kementerian tersebut pada Belanjawan 2021.
Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang menyedari bahawa Belanjawan kali ini bukan mudah kerana dibuat dalam saat sukar ketika negara sedang bergelut dengan pandemik koronavirus (Covid-19), namun pihaknya bersyukur kerana perhatian terhadap aspek pembangunan sukan tidak dipinggirkan.
"Kita kena akui Belanjawan 2021 bukan satu belanjawan mudah untuk dibuat kerana dengan keadaan penuh kesukaran, perkara pertama sudah tentu untuk memastikan persiapan berdepan pandemik Covid-19 serta kelestarian hidup.
"Walaupun begitu ia tetap memberi fokus kepada KBS dan kita akan gunakan sebaik mungkin dan memanfaatkannya bagi melonjakkan pembangunan belia,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian projek naik taraf padang hoki kompleks sukan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) Bertam di sini malam tadi.
Reezal Merican berkata, KBS akan memberikan komitmen penuh untuk melaksanakan segala program pembangunan belia dan sukan secara menyeluruh dan ia bakal dirasai oleh seluruh generasi muda dan warga belia di seluruh negara.
"Memang benar, ada penurunan sedikit kepada belanjawan keseluruhan KBS, tetapi ini sama sekali tidak bermakna kita tidak boleh melaksanakan amanah dan program dengan sebaik mungkin,” katanya.
Dalam Belanjawan 2021, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan peruntukan dana berjumlah RM103 juta untuk membina, menaik taraf dan menyelenggara kemudahan sukan di seluruh negara, selain RM55 juta untuk program pembangunan sukan berprestasi tinggi termasuk RM15 juta buat e-Sukan.
Reezal Merican berkata, menerusi e-Sukan, pihak kementerian akan terus mencari bakat-bakat dan potensi untuk digilap dan diangkat sebagai atlet.
Terdahulu dalam ucapannya, Reezal Merican yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas itu berkata, padang hoki kompleks MBSP yang telah dinaik taraf itu mampu menjadi hab kepada pembangunan bakat sukan itu khususnya di negeri ini.
Beliau berkata, biarpun kos keseluruhan projek tersebut hanya sekitar RM4 juta, penaiktarafan padang tersebut telah memberikan nafas dan semangat baharu kepada peminat hoki tempatan, selain memberi impak besar kepada Kepala Batas dan Pulau Pinang.
"Dalam hal ini, kerajaan akan sentiasa berusaha untuk menyediakan fasiliti dan kemudahan sukan yang lebih baik kepada masyarakat, berkualiti serta menepati spesifikasi yang telah ditetapkan.
"Justeru, dengan adanya fasiliti dan kemudahan padang hoki yang selesa dan baharu seperti ini, maka kerjasama daripada semua pihak adalah dipohon bagi memastikan kesinambungan legasi sukan dapat direalisasikan,” katanya. - Bernama