SHAH ALAM – Pemandu teksi mendakwa Belanjawan 2021 yang diumumkan pada Jumaat lalu meminggirkan golongan tersebut
Yang Dipertua Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin dan Teksi Lapangan Terbang SeMalaysia (GTSM), Kamarudin Mohd Hussain berkata, pihaknya kecewa dan sedih apabila Belanjawan 2021 tidak memberi sebarang manfaat kepada mereka dan industri.
"Sebenarnya kami salah satu golongan B40 paling teruk terjejas akibat penularan wabak koronavirus Covid-19, kami bukan sahaja kehilangan sumber pendapatan, bahkan kami tidak mempunyai simpanan di KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) untuk dikeluarkan bagi meneruskan kesinambungan hidup.
"Malangnya kerajaan seperti melepas pandang kebajikan kami. Belanjawan 2021 yang diumumkan Jumaat lalu langsung tidak memberi sebarang manfaat kepada kami di sektor perkhidmatan awam kecuali kepada warga teksi Sabah yang terjejas teruk akibat peningkatan penularan wabak Covid 19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, sebelum ini pihaknya menggesa kerajaan mempertimbangkan rayuan bantuan khas bulanan RM500 dapat diwujudkan dalam pakej Belanjawan 2021.
"Namun rayuan kami tidak dipertimbangkan dan keadaan ini sungguh menyedihkan kami, seolah-olah kami bukan rakyat Malaysia.
"Kerajaan masih boleh memberi dan meningkatkan elaun Sara Hidup Bulanan RM200 kepada RM300 kepada 40,000 warga nelayan atas dasar prihatin kerajaan terhadap golongan berkenaan, namun keadaan sebaliknya kepada kami, seolah-olah kerajaan tidak menghiraukan keperitan dan kepayahan kami hadapi,” katanya.
Tambah Kamarudin, pemandu teksi kehilangan sumber pendapatan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac lalu.
"Selama ini kami bukan sahaja berhadapan dengan peraturan berat sebelah yang sengaja diwujudkan pemerintah terdahulu bagi melindungi kepentingan syarikat-syarikat korporat.
"Malah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan kami kehilangan sumber pendapatan dan kini berada di dalam kategori hilang pekerjaan dan miskin bandar.
"Kami sekali lagi merayu kepada kerajaan agar mempertimbangkan rayuan kami. Kami juga rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan kerajaan,” katanya.