PENYERANG Tottenham Hotspurs, Harry Kane yakin skuad The Lilywhite itu memiliki kualiti untuk memenangi trofi Liga Perdana Inggeris (EPL).
Kane berkata, Spurs yang kini berada pada kedudukan ketiga dengan dibezakan hanya dua mata di belakang juara EPL musim lalu Liverpool memberikan kesempatan terbaik buat Spurs untuk memburu dan mencabar kejuaraan EPL musim ini.
Malah menurut pemain kebangsaan England itu, kepada saingan terbuka bagi semua pasukan musim ini dilihat akan membantu skuad kendalian Jose Mourinho itu untuk meraih trofi berkenaan.
"Apabila dilihat kepada kemampuan skuad ini, anda akan mengatakan bahawa kami sememangnya layak untuk memenangi trofi EPL kerana selama lima tahun ini kami telah berada hampir dengan kedudukan empat pasukan terbaik, tetapi ternyata belum cukup untuk kami memenangi trofi berkenaan.
"Sebenarnya, ia bukanlah sesuatu yang mudah (memenangi EPL) jika sekadar memiliki skuad yang bagus dan memenangi beberapa perlawanan.
"Musim ini, saya juga tidak fikir ada pasukan yang mampu untuk mengulangi apa yang telah dilakukan oleh juara EPL musim lalu, Liverpool, namun peluang tetap ada kepada pasukan-pasukan lain untuk mencabar kejuaraan EPL kali ini,” katanya.
Sementara itu Kane menyifatkan kehadiran Gareth Bale dan Joe Hart bersama Spurs kali ini dilihat mampu membantu pasukan berkenaan melakar kejayaan kali ini.
Katanya, kedua-dua pemain berkenaan dilihat banyak berperanan selaku ketua bagi pasukan berkenaan.
"Sesuatu yang membanggakan apabila Bale dan Hart yang telah memenangi beberapa trofi di seluruh dunia beraksi bersama Spurs kali ini.
"Sama ada di bilik persalinan, di atas padang latihan mereka adalah seorang ‘ketua’ yang baik. Kami juga memiliki pengurus (Mourinho) sedemikian,” katanya.