PUTRAJAYA - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengalu-alukan cadangan kerajaan memperkenalkan semula skim rent-to-own atau sewa untuk milik (RTO) menerusi pengumuman dalam pembentangan Belanjawan 2021 pada Jumaat lalu.
Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, KPKT akan mengumumkan butiran lanjut mengenai skim RTO setelah mengadakan perbincangan dengan institusi kewangan yang berkenaan.
Menurutnya, skim tersebut diilhamkan oleh KPKT sejak 2018 bagi membantu rakyat Malaysia berpendapatan pertengahan memiliki rumah mampu milik.
"Skim ini akan menjadi pemangkin meningkatkan pemilikan rumah dalam kalangan golongan berpendapatan pertengahan dengan nilai keseluruhan melebihi RM1 bilion yang dikhaskan untuk pembeli rumah pertama bagi unit-unit kediaman Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA),” katanya dalam satu kenyataan.
Zuraida berkata, dalam memenuhi mandat KPKT untuk menyediakan rumah mampu milik untuk rakyat Malaysia yang berpendapatan pertengahan, PR1MA telah melalui proses transformasi untuk mengkaji dan mengubah model perniagaannya.
"Langkah ini adalah sebahagian daripada strategi PR1MA bagi memastikan ia kekal memacu agenda perumahan nasional. Langkah ini telah membolehkan PR1MA meningkatkan kecekapan operasi dan pengurusan kewangannya dengan lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata, setakat 31 Oktober 2020, sebanyak 62 projek PR1MA merangkumi 52,763 unit di seluruh negara diluluskan.
"Dari jumlah ini, 19,987 unit telah disiapkan, 25,356 unit sedang dalam pembinaan dan 7,420 sedang dalam perancangan. Sebanyak 26,000 unit telah terjual setakat ini,” katanya.