Saksi sangka helikopter sedang buat tinjauan udara

Iklan
Rakaman gambar sebuah helikopter yang terhempas di kawasan Taman Melawati, Ampang hari ini.

KUALA LUMPUR -"Saya ingatkan kedua-dua helikopter berkenaan sedang melakukan tinjauan udara dengan terbang bersama, sebelum salah sebuah daripadanya melanggar ekor helikopter yang lain,” cerita seorang saksi yang melihat kemalangan dua helikopter di Taman Melawati pagi tadi.

Saksi berkenaan Puteri Nur Ilani Ismail, 25, berkata, ketika itu dia sedang mencari daun herba untuk kegunaan memasak, 500 meter daripada tempat salah sebuah helikopter berkenaan terhempas.

Iklan
Iklan

"Saya berada berdekatan Bulatan Bukit Mas di sini kira-kira 11.30 pagi dan terdengar bunyi helikopter sedang terbang.

"Tiba-tiba saya terlihat helikopter berwarna merah melanggar bahagian ekor helikopter berwarna biru, yang menyebabkan ia (ekor helikopter biru) patah,” katanya kepada Bernama ketika ditemui berhampiran kawasan kejadian.

Iklan

Katanya, helikopter biru itu kelihatan seakan-akan tidak mampu terbang secara sempurna selepas insiden tersebut, sebelum jatuh terhempas.

"Helikopter merah bagaimanapun dilihat turun secara perlahan-lahan di sebuah kawasan berdekatan,” katanya yang tinggal di kawasan berhampiran.

Iklan

Seorang lagi saksi, Muhammad Taufik Rosli, 24, yang menetap di Jalan M4, Taman Melawati mengakui mendengar bunyi dentuman kuat kira-kira jam 11.40 pagi.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Kami kenal jam arwah pakai'

BSKU mulakan siasatan nahas helikopter: MOT

Helikopter terhempas: Dua maut termasuk bekas tentera laut

Dua maut helikopter bertembung, terhempas

Bercerita lanjut, Muhammad Taufik pada awalnya beranggapan dentuman kuat itu datang daripada kemalangan kereta yang berlaku di jalan utama Taman Melawati, namun terkejut apabila mendapati ia berpunca daripada sebuah helikopter yang jatuh terhempas.

"Laluan ini sememangnya adalah kawasan kemalangan kerana ia adalah jalan lurus. Jadi, saya ingat ada kemalangan kereta yang berlaku.

"Tetapi, apabila saya keluar dari rumah, saya lihat ada sebuah helikopter berwarna biru terhempas,” katanya.

Menurutnya, kawasan Taman Melawati sering kali menjadi tumpuan helikopter yang melakukan tinjauan udara terutama ketika terdapatnya operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki yang hilang atau jatuh di Bukit Tabur.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari tadi, dua lelaki disahkan maut dalam nahas melibatkan dua buah helikopter yang dipercayai bertembung di udara, sebelum sebuah daripadanya terhempas di Taman Melawati, Ampang dekat sini. - Bernama

Sebuah lagi helikopter yang mendarat di padang berdekatan. - Foto Sinar Harian MOHD IZARI ROSLI