Penduduk tak sangka kena jalani PKPB

Iklan
Musa Abd Kadir

IPOH - Rata-rata penduduk yang ditemui di Perak tidak menyangka akan menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selama sebulan bermula esok.

Pesara swasta, Cho Hew Fun, 65, berkata, pengumuman yang dibuat kerajaan semalam sedikit mengejutkan dan memberi gambaran keseriusan ancaman penularan wabak koronavirus (Covid-19) yang sedang melanda negara ketika ini.

Iklan
Iklan

"Sebelum ini hanya beberapa negeri dikenakan PKPB, tak sangka sekarang hampir semua negeri ada perintah sama.

"Terkejut jugalah, bimbang pun ada, nampaknya selepas ini pergerakan kita akan dipantau sepenuhnya, tak boleh lagi sesuka hati keluar rumah," katanya.

Iklan

Bagi peniaga, Musa Abd Kadir, 40, pengumuman PKPB sudah pasti akan mengurangkan aktiviti ekonomi yang baru mahu menunjukkan tanda pulih beberapa bulan lalu.

Dia yang tinggal di Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang dan mempunyai perniagaan di Parit Buntar berkata, hampir setiap hari perlu merentasi negeri untuk menyelesaikan urusan perniagaannya.

Iklan

"Walaupun pergerakan agak terbatas, sekurang-kurangnya aktiviti perniagaan masih boleh dijalankan, jadi lega sikit," katanya.

S Kanapathy, 60, yang bekerja sendiri pula mengakui pelaksanaan PKPB ini sedikit sebanyak membataskan persiapan mereka untuk menyambut perayaan Deepavali pada 14 November ini.

Katanya, mereka sekeluarga belum berkesempatan membuat persiapan kerana bercadang untuk membeli pakaian dan makanan minggu hadapan.

"Nampaknya kita sambut secara sederhana sahajalah, beli dan pakai apa yang perlu sahaja," katanya.

Peniaga kedai runcit, Halimatun Saadiah Kadir, 20, berkata, operasi perniagaan masih berjalan seperti biasa, hanya ditutup lebih awal pada jam 6 petang berbanding 10 malam sebelum ini.

Katanya, setakat ini tidak ada sebarang pembelian melampau dilakukan pelanggan dan orang ramai masih berkunjung ke kedai itu untuk membeli keperluan mereka seperti kebiasaannya.

"Kami buka kedai macam biasa, cuma aspek keselamatan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) akan ditekankan lagi," katanya.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPB dilaksanakan di seluruh negeri di Semenanjung kecuali Pahang, Perlis dan Kelantan, berkuatkuasa selama empat minggu bermula 9 November hingga 6 Disember depan susulan peningkatan kes positif Covid-19 di beberapa negeri di Semenanjung.