Pakaian PPE dalam bot antara SOP operasi banjir

Iklan
Md Hilman (tengah) memeriksa enjin bot bomba sambil mendengar penerangan daripada pegawainya.

KUALA TERENGGANU - Kesemua kenderaan menyelamat termasuk bot yang digunakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) semasa bencana banjir akan dilengkapi Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE).

Ia sebagai usaha pencegahan di samping melindungi anggota pasukan dan mangsa banjir daripada wabak koronavirus (Covid-19).

Iklan
Iklan

Pengarah JBPM Terengganu, Penolong Pesuruhjaya Bomba Md Hilman Abd Rashid berkata, ia antara prosedur operasi standard (SOP) baharu yang akan diguna pakai sebagai perlindungan tambahan kepada semua pihak terlibat.

Menurutnya, walaupun SOP baharu sedikit menyukarkan kerja menyelamat, namun ia perlu dipatuhi bagi memastikan tiada penyebaran Covid-19 semasa bencana.

Iklan

"Pakaian PPE yang lengkap termasuk sarung tangan akan diletakkan di semua kenderaan logistik kita termasuk bot penyelamat. Selain itu, untuk bot fiber biasa, kita hadkan hanya enam orang dalam bot iaitu empat mangsa dan dua anggota penyelamat.

"Bagi mangsa yang memakai gelang atau yang menjalani kuarantin di rumah, kita akan asingkan dan semua anggota penyelamat dan individu yang di kuarantin itu juga perlu memakai PPE yang kita sediakan.

Iklan

"Pencegahan awal perlu kerana dalam keadaan bencana sukar untuk kita pastikan keadaan setiap mangsa. Sebab itu penilaian awal dan kerjasama mangsa banjir amat diperlukan semasa kerja-kerja penyelamatan dilakukan,” katanya ketika ditemui selepas Program Pengujian Peralatan dan Bot Bagi Persediaan Menghadapi Monsun Timur Laut (Banjir) Bagi JBPM Terengganu di Jeti Feri Lama Losong, di sini hari ini.

Md Hilman dan pegawainya bersama pegawai ABPM Wilayah Timur membuat pengujian bot di Sungai Terengganu berhampiran Masjid Kristal, Kuala Terengganu hari ini.

Program pengujian itu turut disertai oleh Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Timur, Wakaf Tapai, Marang.

Sementara itu, Md Hilman berkata, seramai 835 pegawai dan anggotanya serta 250 anggota bomba sukarela bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan bencana banjir dalam musim tengkujuh kali ini.

Selain itu, katanya, ABPM Wilayah Timur turut membantu dalam operasi banjir dengan kekuatan seramai 25 pegawai dan anggota.

"Kita juga akan dibantu agensi lain seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), polis, majlis daerah dan pihak berkuasa tempatan dalam kerja penyelamatan agar berjalan lancar dan tiada kemalangan jiwa berlaku sewaktu banjir," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, terdapat tiga kes lemas semasa musim banjir pada tahun lepas dan beliau mengharapkan tiada kes lemas dilaporkan pada musim tengkujuh kali ini.

Secara keseluruhannya, sebanyak 20 kes lemas berlaku di Terengganu tahun ini berbanding 14 kes sepanjang tahun lepas.