KUALA LUMPUR - Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali optimis akan hubungan perdagangan masa hadapan antara Putrajaya dan Washington berikutan kemenangan Joe Biden dalam pilihan raya Presiden di celah-celah cabaran besar yang dihadapi seluruh ekonomi global.
"Kita amat yakin bahawa hubungan perdagangan Malaysia-AS akan tetap kuat dan rancak dan komuniti perniagaan AS akan terus meneroka peluang selanjutnya untuk pelaburan langsung yang lebih besar di Malaysia," katanya
Pernyataan Azmin datang sejurus selepas Biden, bekas naib presiden selama dua penggal di bawah pemerintahan Barack Obama, memenangi pilihan raya Presiden AS untuk menjadi Presiden AS ke-46.
"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Presiden terpilih Biden, atas pemilihannya sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-46,” kata Azmin dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Naib Presiden terpilih Kamala Harris kerana terpilih sebagai wanita pertama menjadi Naib Presiden AS.
Menurut Azmin, Biden telah terpilih pada ketika yang sangat penting dalam sejarah ketika umat manusia di seluruh dunia bergelut memerangi penularan pandemik dengan perkadaran yang tidak pernah terjadi sebelum ini.
"Malaysia berharap kepada kepimpinan Amerika dalam menghadapi impak membinasakan koronavirus (Covid-19) dan seterusnya mencartakan kembali trajektori masa hadapan Amerika dalam landskap geopolitik sebagai mercu tanda keamanan dan keselamatan dunia,” katanya.
Mohamed Azmin berkata, MITI juga berharap kerjasama ASEAN-AS akan berterusan dan berjaya, terutama dalam mencergaskan semula ekonomi serantau serta penyertaan AS yang lebih besar dalam promosi perdagangan bebas dan penglibatan pelbagai hala dalam kalangan anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik. - Bernama