Tindakan akan dikenakan jika tipu permohonan rentas negeri

Iklan
Mohamad Noor tengah) sedang menyampaikan ceramah pada Program Sepakat @ Komuniti Pembudayaan Normal Baharu: Putuskan Rantaian Covid-19 di Kompleks Dagangan Mahkota, Indera Mahkota di Kuantan hari ini.

KUANTAN - Polis memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak memalsukan dokumen atau butiran pada surat kebenaran rentas negeri.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, perbuatan itu adalah salah dan boleh dikenakan tindakan di bawah akta kanun keseksaan kerana melakukan pemalsuan surat kebenaran.

Iklan
Iklan

"Jika didapati ada cubaan mengemukakan dokumen palsu apabila disemak, polis boleh membuat laporan dan siasatan akan dilakukan terhadap individu terbabit.

"Malah tindakan memalsukan dokumen seolah-oleh cuba memperdayakan pegawai polis supaya membuat keputusan berdasarkan satu dokumen yang mereka tahu dokumen itu adalah tidak betul," katanya ketika ditemui pemberita selepas program 'Sepakat @ Komuniti Pembudayaan Normal Baharu: Putuskan Rantaian Koronovirus (Covid-19)' di Kompleks Dagangan Mahkota, Indera Mahkota di sini hari ini.

Iklan

Majlis itu dirasmikan Setiausaha Politik Menteri Komunikasi dan Multimedia, Abdul Razak Ahmad bagi mewakili menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu.

Iklan

Mohamad Noor berkata, sudah ada beberapa individu yang dikesan melakukan kesalahan berkenaan namun jumlah masih belum membimbangkan.

"Walaupun jumlah kes ini (palsu dokumen) sedikit, tetapi pihak kita perlu beri amaran dan peringatan kepada masyarakat. Kita percaya jumlah ini akan meningkat jika tiada peringatan dibuat.

"Jadi, jangan kita ambil kesempatan dengan mengadakan-adakan dokumen tertentu untuk tujuan peribadi sehingga akhirnya diri sendiri dikenakan tindakan undang-undang," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kawalan sempadan daerah Kuantan dan Kemaman di Terengganu, Mohamad Noor berkata, pihaknya telah memperketatkan pemeriksaan di kawasan sempadan tersebut.

Beliau berkata, Polis Kemaman juga memberi kerjasama yang baik terhadap anggota polis Kuantan yang diarah membuat kawalan di sempadan tersebut.