SHAH ALAM - Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) memberi jaminan bahawa penubuhan semula jawatan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) akan dianggotai oleh pasukan yang tidak bermotifkan politik.
Dalam satu kenyataan hari ini, KKMM berkata, tindakan kerajaan untuk menubuhkan kembali agensi tersebut amat penting ketika negara sedang menghadapi krisis pandemik koronavirus (Covid-19) ketika ini.
"KKMM memahami keresahan rakyat terhadap fungsi-fungsi Jasa sebelum ini yang mungkin tidak dilaksanakan sebagaimana ditetapkan semasa pentadbiran terdahulu.
"Namun KKMM memberi jaminan kepada semua pihak bahawa penubuhan semula Jasa dianggotai oleh pasukan yang langsung tidak bermotifkan politik ini bertujuan untuk memperkukuhkan sahsiah dan pembangunan sosial masyarakat berbilang bangsa,” kata kenyataan tersebut.
Menurut kenyataan itu, Jasa akan bertanggungjawab untuk mengadakan sesi libat urus dengan pemegang taruh termasuk pemimpin masyarakat sivil dan pemimpin komuniti setempat bagi mendapatkan maklumat penting yang konstruktif bagi pembinaan negara bangsa.
"Penyebaran berita-berita palsu yang memecahbelahkan keharmonian masyarakat merupakan antara cabaran besar yang dihadapi oleh masyarakat majmuk kita hari ini.
"JASA sebagai agensi kerajaan yang mendukung prinsip-prinsip Rukun Negara juga berperanan untuk mewujudkan sebuah negara bangsa yang bersatu padu melalui penyebaran maklumat yang tepat dan sahih kepada masyarakat,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Pembangkang dakwa Jasa dihidupkan semula
Mengenai kegunaan peruntukan yang diberikan dalam Belanjawan 2021, KKMM berkata, peruntukan tersebut bertujuan bagi pengambilan lebih ramai kakitangan untuk ditempatkan di semua negeri dan daerah seluruh negara.
"Peruntukan tersebut juga akan digunakan bagi pembangunan modul dan latihan kompetensi kakitangan dan melengkapkan keperluan prasarana digital untuk menyebarkan maklumat dalam pelbagai bentuk komunikasi agar dapat disampaikan secara berkesan kepada semua lapisan masyarakat.
"Selain itu, ia juga melibatkan kos operasi bagi menggerakkan kakitangan khususnya di kawasan-kawasan yang jauh dan terpencil seluruh negara serta kos-kos lain yang diperlukan dalam penubuhan sebuah agensi baharu,” katanya.
Pada masa sama, KKM juga berkata, segala perbelanjaan akan diaudit seperti yang tertakluk di bawah peraturan kewangan kerajaan.
Pada pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat Jumaat lalu, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan sebanyak RM81 juta diperuntukkan kepada Jasa.
Susulan itu, ia mendapat kritikan daripada pihak pembangkang yang berpandangan terdapat hal lain lebih penting untuk diberikan peruntukan berbanding usaha menghidupkan kembali agensi yang mereka sifatkan sebagai unit propaganda kerajaan.