BEIJING - Seekor ayam peliharaan di China menjadi terkenal secara tiba-tiba kerana mempunyai tabiat makan yang pelik iaitu gemar memakan skru besi.
Menurut pemiliknya, Song Zhenduo yang memiliki sebuah kedai membaiki barangan elektrik di wilayah Heilongjiang, dia sendiri terkejut apabila kali pertama melihat perkara tersebut.
Walaupun mempunyai selera yang agak luar biasa, tabiat makan luar biasa itu langsung tidak menjejaskan keadaan kesihatan ayam tersebut.
"Ia mempunyai berat kira-kira tiga kilogram dan sekilo lebih berat daripada ayam biasa," ujarnya.
Sementara itu, pekerja di Kementerian Penternakan Haiwan tempatan percaya ayam tersebut mempunyai 'zat asid' yang dapat melarutkan bahagian logam selepas memakannya.
"Keadaan itu jelas kerana skru tersebut tidak keluar bersama najisnya," katanya lagi.
Rakaman video memaparkan ayam betina tersebut menikmati skru besi turut menerima reaksi jutaan pengguna laman Weibo pada minggu lalu.
Ada yang cuba berjenaka dengan menyatakan haiwan itu cuba mengambil sedikit 'zat besi' untuk mendapatkan diet yang berkhasiat. - Agensi