TFC sedia beraksi di venue berkecuali

Iklan
Nafuzi (kanan) mahu memperkemaskan kelemahan yang dikenal pasti ketika menentang PJ City FC. - Foto Terengganu FC

TERENGGANU FC (TFC) sedia beraksi di venue berkecuali pada aksi suku akhir TM Piala Malaysia berdepan Perak sekiranya diarahkan berbuat demikian oleh pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Pengendali TFC, Nafuzi Zain berkata, pihaknya akur dengan sebarang keputusan demi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negara kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan mulai 9 November hingga 6 Disember ini.

Iklan
Iklan

"Kami akan terima apa juga keputusan daripada MFL walaupun kami terpaksa beraksi di gelanggang berkecuali nanti berikutan PKPB. Dalam keadaan sekarang ini, memang kami tidak ada pilihan dan kami akan patuhi keputusan yang dikeluarkan MFL nanti.

"Cuma apa yang penting buat masa sekarang, para pemain TFC terus fokus dengan tugas mereka kerana kami sudah berjaya mara ke peringkat suku akhir Piala Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Iklan

TFC menepati ramalan awal apabila melangkah ke peringkat suku akhir Piala Malaysia selepas menewaskan PJ City FC 1-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu malam kelmarin hasil jaringan tunggal pemain import, Sanjar Shaakhmedov pada minit ke-36.

Mengulas pertemuan berdepan Perak pada aksi suku akhir nanti, Nafuzi berkata, beliau akan memperkemaskan kelemahan-kelemahan yang telah dikenal pasti ketika menentang PJ City FC.

Iklan

"Perak sebuah pasukan yang kuat dan antara pasukan pilihan. Perak juga pernah tewaskan kami dalam saingan Liga Super. Jadi kami harus bersedia apabila berdepan Perak nanti,” katanya.