PPSB tingkat pendapatan pesawah padi

Iklan
Muhammad Sanusi (dua dari kanan) mendengar taklimat berkaitan pengurusan pengairan dan saliran ketika melawat ruang pameran MADA di Alor Setar baru-baru ini.

ALOR SETAR - Peladang yang mengusahakan sawah bersaiz kecil digalak untuk menyertai Program Penanaman Padi Skala Besar (PPSB) bagi meningkatkan hasil, seterusnya keluar daripada kepompong kemiskinan.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kajian menunjukkan sebanyak 84 peratus peladang Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) ketika ini mengerjakan sawah dalam skala kecil iaitu kurang daripada tiga hektar.

Iklan
Iklan

Menurutnya, PPSB diyakini dapat meningkatkan pendapatan pesawah dan ia adalah antara usaha untuk mengeluarkan golongan berkenaan daripada kelompok B40.

"Sehubungan itu, MADA memperkenalkan PPSB yang dilaksanakan ketika ini sebagai penambahbaikan kepada projek estet padi sedia ada.

Iklan

"Setelah lima dekad, industri padi di Kawasan Muda perlukan nafas baharu untuk meneruskan jaminan keselamatan bekalan makanan negara,” katanya.

Amanat Muhammad Sanusi itu disampaikan pada Majlis Libat Urus Menteri Besar bersama Peladang MADA di Ibu Pejabat MADA di Ampang Jajar di sini baru-baru ini.

Iklan

Hadir sama, Pengerusi MADA, Ahmad Tarmizi Sulaiman; Pengurus Besar MADA, Datuk Fouzi Ali serta Exco Pertanian dan Industri Makanan, Keusahawanan Pertanian dan Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat Kedah, Azman Nasaruddin.

Muhammad Sanusi berkata, program berkenaan turut diperkenalkan bagi mengatasi masalah saiz usaha sawah yang semakin mengecil akibat aktiviti pecah milik.

Muhammad Sanusi menyampaikan amanat pada Majlis Libat Urus Menteri Besar bersama Peladang MADA di Ibu Pejabat MADA di Ampang Jajar, Alor Setar baru-baru.

"Kesannya, peladang mengusahakan saiz sawah yang tidak ekonomik. Ia membataskan aplikasi teknologi dan mekanisasi secara menyeluruh dalam aktiviti persawahan.

"Disebabkan peningkatan kos operasi, peladang yang mengusahakan sawah bersaiz kecil dihimpit tekanan sosioekonomi dan menyebabkan mereka masih berada dalam kelompok B40,” kata beliau.

Menurutnya, matlamat pelaksanaan PPSB termasuk memodenkan penanaman padi, meningkatkan produktiviti dan mengoptimumkan kos pengeluaran serta peralihan sebahagian kuasa pasaran kepada pesawah.

Beliau berkata, program itu fokus kepada aktiviti perladangan melebihi lima hektar melibatkan usahawan padi sedia ada, usahawan padi muda dan penglibatan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) serta GLC seperti MADACORP yang menyasarkan pendapatan bulanan usahawan padi tidak kurang daripada RM4,000.

Bagi memastikan kelestarian sektor penanaman padi dapat direalisasikan, beliau berkata, kemuda-han infrastruktur merupakan faktor terpenting.

"Kepadatan infrastruktur pertanian merangkumi tali air dan jalan ladang memainkan peranan besar bagi membantu meningkatkan hasil pesawah.

"Bagi kawasan Lembangan Muda, kepadatan infrastruktur adalah sebanyak 18 meter sehektar dan merupakan kepadatan terendah berbanding kawasan jelapang lain,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, kerajaan Kedah menyokong Pelaksanaan Projek Pemacu Pertanian (EPP-10) yang bertujuan meningkatkan kepadatan infrastruktur pada peringkat ladang kepada 30 meter sehektar menerusi peruntukan RM1.542 bilion bagi tempoh pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) dan RMK11.

Menurutnya, selepas 50 tahun penubuhan MADA, institusi tersebut berjaya meletakkan Kawasan Muda di Kedah dan Perlis sebagai ‘Jelapang Padi Nasional Negara’.

"Purata hasil padi semusim pada tahun 1970-an adalah sebanyak 3.37 tan sehektar. Penanaman padi ketika itu hanya sekali setahun dengan nilai pengeluaran sebanyak RM84 juta.

"Kini, purata pengeluaran padi di kawasan MADA adalah sebanyak 5.69 tan sehektar dengan penana-man padi dua kali setahun dan nilai pengeluaran mencecah RM1.73 bilion setahun,” katanya.

Beliau berkata, Kawasan Muda merupakan kawasan penanaman padi terbesar dan terpenting negara melibatkan keluasan pasel padi 100,685 hektar yang diusahakan seramai 57,635 peladang.

"Sebelum penubuhan MADA, pendapatan bersih tahunan seisi rumah petani sebanyak RM1,092 iaitu RM892 melibatkan hasil pertanian dan selebihnya hasil bukan pertanian.

"Pendapatan tahunan peladang berjaya ditingkatkan kepada RM4,000 setahun (pada 1975) dan pada tahun 2018, jumlah pendapatan bersih meningkat kepada RM33,827 setahun,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhammad Sanusi berkata, penularan pandemik koronavirus (Covid-19) mempengaruhi prestasi perkembangan ekonomi dunia termasuk Malaysia.

"Sebagai langkah pemulihan ekonomi pasca-Covid-19, kerajaan melaksanakan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), diikuti Pakej Prihatin PKS Tambahan.

Menerusi pakej tersebut, katanya, MADA menerima peruntukan sebanyak RM11.2 juta bagi pelaksanaan projek seperti perataan tanah, program peningkatan pendapatan peladang dan usahawan MADA, penyelenggaraan Empangan MADA, penyelenggaraan operasi tali air serta penyelenggaraan saliran dan stesen telemetri.