Malaysia teguh menyokong Palestin

Iklan
Malaysia teguh dengan pendirian untuk menyokong pembentukan sebuah negara Palestin yang berdaulat. Gambar kecil: Kamarudin

KUALA LUMPUR - Malaysia teguh dengan pendirian untuk menyokong pembentukan sebuah negara Palestin yang berdaulat melalui Penyelesaian Dua Negara (Two State Solution) berdasarkan garis sempadan 1967 dengan Baitulmaqdis sebagai ibu kota Palestin.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, itu prinsip yang dipegang negara sejak sekian lama.

Iklan
Iklan

Katanya, mengenai tindakan beberapa negara Asia Barat seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta Bahrain yang mengadakan hubungan diplomatik dan menandatangani Abraham Accords dengan Israel, Malaysia sentiasa mengikuti perkembangan terkini berhubung perkara itu.

"Mengambil kira kepentingan strategik Malaysia di rantau Asia Barat serta hubungan dua hala dengan negara-negara yang berkaitan, kerajaan Malaysia akan sentiasa menangani isu ini dengan penuh teliti dan berhati-hati.

Iklan

"Keputusan untuk menjalin hubungan diplomatik dengan mana-mana negara adalah merupakan hak mutlak sesebuah negara yang berdaulat. Dalam hal sebegini, kerajaan Malaysia mengamalkan tidak campur tangan dalam urusan domestik negara lain.

"Atas prinsip ini juga, ia tidak akan menggugat hubungan baik Malaysia dengan negara-negara lain yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel," katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Ahmad Tarmizi Sulaiman (Pas-Sik) yang meminta kementeriannya menyatakan langkah-langkah proaktif bersama badan antarabangsa seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi menyatakan bantahan berkaitan rancangan ketidakadilan normalisasi Israel untuk mengiktiraf penjajahan mereka ke atas Palestin.

Mengulas lanjut, Kamarudin berkata, dalam konteks itu, Malaysia akan terus memantau perkembangan dari masa ke masa.

Katanya, implikasi-implikasi daripada perubahan pentadbiran di Amerika Syarikat juga sedang berlaku dan turut dalam pemantauan.

"Selari dengan dasar ini, tindakan mana-mana negara untuk membenarkan laluan pesawat komersial di ruang udara mereka juga adalah hak kedaulatan negara tersebut," katanya.

Katanya, Malaysia juga amat memahami ketidakpuasan hati Palestin dan negara itu berhak menzahirkan kekecewaan tersebut.

"Malaysia akan terus menyokong usaha jujur, konkrit dan realistik untuk mencari jalan penyelesaian yang adil dan berkekalan terhadap konflik Palestin-Israel ini berdasarkan peruntukan undang-undang antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang berkaitan melalui rundingan yang melibatkan pihak-pihak berkenaan," katanya.