KUANTAN - Dana berjumlah RM750 juta yang disediakan kerajaan kepada Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) pada pembentangan Belanjawan 2021 baru-baru ini sebaiknya disalurkan terus kepada rakyat.
Exco Pemuda UMNO, Azril Rizal Yusof Mohd Sarit berkata, dana yang disediakan melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi meningkat nilai pegangan bumiputera dalam sektor hartanah terutama bagi pembangunan komersial atas tanah rizab Melayu itu dilihat tidak memberi manfaat kepada rakyat bumiputera secara keseluruhannya.
Menurutnya, ia sebaliknya lebih memberi manfaat kepada syarikat-syarikat besar dan pemaju yang mempunyai aset hartanah dan mahu melakukan pengurangan aset sama ada menjual atau sewa balik.
"Dalam hal ini, PHB dilihat sebagai sebuah pelaburan hartanah yang membeli aset-aset hartanah seperti bangunan pejabat, pusat beli belah, hospital swasta dan sebagainya dan mendapat pulangan melalui sewaan dan sebagainya.
"Hasil pulangan itu turut digunakan untuk membayar dividen kepada pemegang-pemegang unit sahamnya.
"Maka dengan nilai dana RM750 juta ini, PHB akan melakukan pembelian hartanah dari syarikat-syarikat besar yang mahu mengurangkan aset hartanah mereka dan disatukan kepada unit saham di Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) sebelum unit-unit saham itu dijual kepada bumiputera sebagai pelaburan,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Azril Rizal Yusof yang juga Ketua Pemuda UMNO Temerloh turut mempersoalkan siapakah yang mendapat manfaat terbesar daripada RM750 juta itu.
"Sudah tentu manfaatnya bukan kepada rakyat bumiputera terbanyak. Sedangkan dalam keadaan ramai rakyat berdepan kesusahan hidup, bukan satu keperluan utama untuk kerajaan membelanjakan dana sehingga RM750 juta bagi membuat ‘shopping - spree’ dengan pembelian aset-aset hartanah dari taikun-taikun atau syarikat-syarikat swasta yang besar ini.
"Saya percaya golongan bumiputera dalam kalangan B40 atau M40 tidak akan melakukan pelaburan saham buat masa ini hanya untuk pulangan dividen 5 ke 6 peratus setahun atau mungkin jauh lebih rendah dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini,”katanya.
Menurutnya, rakyat ketika ini lebih memikirkan soal kelangsungan hidup, seperti desakan untuk mengeluarkan simpanan dari akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menampung kos hidup yang semakin mendesak.
"Justeru saya melihat dalam situasi kritikal ketika penularan pandemik koronavirus (Covid 19) ini, langkah kerajaan melakukan alokasi sebanyak RM750 Juta itu bukan satu tindakan bijak.
"Sebaiknya serahkan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sedia ada untuk melakukan pembelian dan melabur di sektor hartanah kerana syarikat ini mempunyai alokasi untuk pelaburan,”katanya.
Beliau berkata, peruntukan RM750 Juta itu sepatutnya disalurkan kepada perkara yang terus sampai kepada rakyat yang lebih memerlukan perhatian dan pembelaan mendesak.
"Pilihan lain yang lebih sesuai dalam keadaan hari ini untuk agenda bumiputera adalah dengan mewujudkan lebih banyak rumah mampu milik atas tanah rizab Melayu.
"Langkah ini akan membantu golongan bumiputera berkemampuan membeli rumah seterusnya menambahkan lagi pegangan aset mereka,”katanya.