Bersatu kemuka calon PRK Batu Sapi

Iklan
Gambar kiri: Khairul Firdaus Akbar

KOTA KINABALU - Ketika beberapa parti daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) lebih awal mengumumkan untuk tidak bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi, namun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sehingga kini belum memberi sebarang kenyataan sama ada turut memberi laluan kepada Parti Warisan Sabah (Warisan) menang tanpa bertanding atau sebaliknya.

Khabar angin berhubung parti yang dipimpin Datuk Seri Hajiji Mohd Noor mula bertiup kencang apabila Ketua Penerangan Bersatu Sabah, Khairul Firdaus Akbar Khan antara yang disebut-sebut bakal dicalonkan dalam PRK Batu Sapi pada 5 Disember ini.

Iklan
Iklan

Menurut sumber, tidak wajar untuk jentera parti membiarkan Warisan menang tanpa bertanding dan ia tidak adil bagi pihak lain.

"Kalau diikutkan, tidak wajar diberi sepenuhnya kepada Warisan untuk bertanding, kena bertanding juga. Tetapi haruslah diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat berbanding Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.

Iklan

"Setakat ini, insyaALLAH ada sudah calon, mungkin Ketua Bersatu Bahagian Batu Sapi, Khairul Firdaus Akbar, sekarang pun mereka sibuk mengagihkan bakul makanan koronavirus (Covid-19) tetapi bukan bermaksud untuk berkempen," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Sementara itu, seorang lagi sumber mengatakan perkara itu belum disahkan namun nama calon untuk PRK Batu Sapi sudah disebut sejak dua minggu lalu.

Iklan

"Sebenarnya ia adalah permintaan jentera akar umbi untuk mencadangkan Khairul Firdaus tetapi beliau sendiri berkata tidak pasti sama ada diberi peluang atau tidak memandangkan kes Covid-19 kini sedang meningkat.

"Kami d iakar umbi cuma mencadangkan, namun setakat ini belum ada yang menyerahkan nama beliau ke pimpinan tertinggi.

"Namun jika beliau dijadikan calon, kami bersedia menyokong," katanya.

Sebelum ini, barisan pimpinan tertinggi Warisan ketika memaklumkan akan meletakkan calon dalam PRK itu turut menjangkakan dicabar oleh parti lain.

Menurut Naib Presiden Warisan, Datuk Dr Jaujan Sambakong, pihaknya yakin akan ada pertandingan dalam PRK itu walaupun Sabah sedang menghadapi penularan kes Covid-19 yang tinggi pada waktu ini.

Beliau berkata, dalam sejarah di Sabah, tiada pertandingan secara percuma sepanjang pengalaman 60 tahun di mana-mana Pilihan Raya Umum (PRU) dan PRK.

Katanya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga sudah keluarkan kenyataan PRK Batu Sapi tetap diteruskan, maknanya memang akan ada pertandingan.

Terdahulu, PRK Batu Sapi dijadualkan berlangsung pada 5 Disember ini dan sehingga kini beberapa parti sudah mengumumkan tidak akan bertanding selepas mengambil kira keadaan kes Covid-19 di Sabah yang tinggi.

Antaranya termasuklah Barisan Nasional (BN), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Cinta Sabah (PCS).