KUALA LUMPUR - Rakyat ketika ini telah muak dengan sikap sesetengah pemimpin yang masih banyak membincangkan soal politik berbanding memberi tumpuan untuk membendung pandemik koronavirus (Covid-19).
Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sepatutnya dalam krisis berganda yang sedang dihadapi rakyat ketika ini soal sedemikian perlu dilupakan.
"Dalam keadaan kita hadapi pandemik ini dan terlampau banyak perkara yang berlaku, kita ada krisis kewangan, kita dah ada krisis ekonomi, kita ada krisis pandemik.
"Kalau ditambah pula dengan segala bentuk politik yang kemudiannya sangat membebankan rakyat dan rakyat di luar sana tengok (dan) dia tengok orang politik pun kadang-kadang dia menyampah.
"Terlampau banyak sangat urusan politik yang berlaku. Jadi waktu pandemik seumpama ini, eloklah kita tumpukan urusan yang berkaitan dengan Covid-19 dan tidak perlu banyak perkara (yang akhirnya membebankan rakyat)," katanya pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mahdzir yang juga Naib Presiden UMNO berkata, mengambil contoh nama beliau yang didakwa turut tersenarai dalam akuan bersumpah (SD) dan telah di bawa ke Istana Negara baru-baru ini tidak sepatutnya berlaku.
"Saya sendiri kadang-kadang terkejut sebab ada juga hal yang berkaitan politik ini yang kadang-kadang nama saya juga digunakan.
"Jadi, perkara sebegini tidak patut berlaku dalam tempoh pandemik seumpama ini," katanya.