IPOH - Gabungan Institut Latihan Kemahiran Swasta Bumiputra (GILKSB) merayu kepada kerajaan memberikan kebenaran melaksanakan program-program latihan kemahiran jangka masa pendek untuk pekerja ladang dan pertanian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula hari ini.
Pengerusinya, Nordin Abdul Malek berkata, perkara itu dilihat sebagai satu keperluan memandangkan sektor pertanian dan perladangan merupakan bidang yang sangat kritikal ketika ini terutama dari segi tenaga kerja.
Beliau berkata, sektor pertanian dan perladangan memerlukan pekerja memandangkan kekosongan yang ditinggalkan pekerja asing ketika tempoh Perintah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.
"Oleh kerana masih ada pekerja tempatan yang masih berminat untuk bekerja di dalam sektor ini, ia sekali gus dapat menyelesaikan sebahagian daripada keperluan tenaga kerja itu.
"Jadi kita minta supaya kerajaan membenarkan dalam tempoh PKPB ini supaya program-program yang berbentuk latihan pendek dan latihan untuk penempatan kerja dibenarkan beroperasi seperti biasa," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata, kebenaran itu perlu diberikan bagi memastikan sektor pertanian dan perladangan tidak berdepan masalah tenaga kerja yang lebih kronik.
Nordin menjelaskan, usaha tersebut dapat memastikan pengeluaran hasil pertanian dan ladang terjamin di samping mengekalkan jaminan keselamatan makanan.
Menurutnya, program latihan kemahiran itu juga dapat mengurangkan risiko pengangguran dengan individu hilang pekerjaan boleh mengisi kekosongan dalam sektor pertanian dan perladangan.
Katanya, jika program latihan tersebut terus ditangguh, ia akan memberikan banyak kesan kepada pelbagai sektor di negara ini.