Pelantikan Azmin wajar, ada pengalaman luas: Zuraida

Iklan

PUTRAJAYA - Pelantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Kelantan merupakan satu tindakan yang wajar berdasarkan pengalaman luas dalam pengurusan dan pembangunan negeri semasa menjadi Menteri Besar Selangor.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, penglibatan Azmin secara terus dengan pembangunan Kelantan akan meningkatkan sosio-ekonomi negeri tersebut dalam usaha merancakkan lagi pembangunan negara secara keseluruhannya.

Iklan
Iklan

"Segala perancangan dan perangkaan yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan dengan kerjasama semua pihak ini adalah bertujuan untuk menjana pembangunan bersepadu untuk rakyat di Kelantan.

"Pembangunan yang bersifat inklusif, holistik dan proaktif ini penting untuk mewujudkan sebuah negara yang lebih gemilang, berasaskan iltizam pembangunan generasi dan komuniti mampan," katanya menerusi satu kenyataan di sini, semalam.

Iklan

Pelantikan Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi sebagai Pengerusi MTNg Kelantan, berkuatkuasa 1 Januari 2019 menimbulkan bantahan daripada Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan.

Difahamkan Biro Politik Amanah negeri mengadakan satu mesyuarat tergempar bagi membincangkan tentang tentang pelantikan tersebut yang sepatutnya diberikan kepada Naib Presiden Amanah, Datuk Husam Musa.

Iklan

Bagaimanapun, Zuraida berkata, pelantikan itu diharap dapat membina kerjasama erat antara Pengerusi MTNg Kelantan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Pejabat Menteri Besar Kelantan, Barisan Exco Negeri Kelantan, Yang Dipertua Majlis Perbandaran dan Daerah bagi memastikan pembangunan negeri tersebut dapat dirancang dan dilaksana dengan sebaik mungkin.

"Untuk menjadi sebuah negara yang cemerlang, adalah penting untuk semua negeri di Malaysia dibangunkan secara selari, yang mana bantuan dan peluang dari Kerajaan Persekutuan perlu diberikan mengikut keperluan semasa setiap negeri," jelas beliau.

Sehubungan itu, Zuraida berkata, KPKT telah memulakan pemantauan kepada pembangunan di seluruh negeri di Malaysia terutamanya dalam sektor yang dikawal selia oleh kementerian tersebut.

"Pada 20 Januari 2019 misalnya, KPKT telah turun padang dan bertemu dengan pemimpin dan rakyat Kelantan, yang mana kita telah mengenalpasti beberapa sektor utama yang perlu diberikan penekanan dalam usaha untuk membangunkan negeri tersebut.

"Antara isu utama yang harus ditangani dengan segera adalah kebergantungan negeri tersebut terhadap tapak pembuangan sampah dan pengurusan sisa pepejal yang tidak efektif sehingga menyebabkan pencemaran alam sekitar.

"Untuk menyelesaikan permasalahan ini, KPKT akan merangka satu pelan tindakan yang membolehkan teknologi"waste to energy" untuk dilaksanakan di Negeri Kelantan, sekaligus akan menghapuskan kebergantungan negeri tersebut kepada tapak pembuangan sampah pada masa akan datang," katanya.

Tambah beliau, bagi sektor perumahan pula, perbincangan awal telah dimulakan agar rumah mampu milik dapat dibina melalui kerjasama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kelantan untuk memastikan rakyat di negeri tersebut mendapat peluang untuk memiliki kediaman yang selesa dan mampu milik.

"KPKT turut mendapati bahawa, terdapat keperluan yang mendesak untuk memperkasakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Kelantan yang sehingga kini masih lagi tidak mencapai tahap yang memuaskan, sungguhpun telah diwujudkan sekian lama.

"Oleh yang demikian, KPKT akan menerajui pemberdayaan PBT di negeri tersebut melalui program-program yang sedang dirancang, bagi memastikan mereka berupaya menjadi PBT kelas pertama setanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia," ujarnya.