JOHOR BAHRU - Peruntukan RM14.4 bilion dalam Belanjawan 2021 untuk sektor pendidikan akan memberi impak besar terhadap keseluruhan ekosistem penyelidikan negara.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail yang juga menjalankan fungsi Naib Canselor UTM berkata, peruntukan itu melibatkan kenaikan sebanyak 13.15 peratus berbanding tahun ini.
"Menerusi penyelidikan yang dijalankan, ia akan dapat memberi manfaat bukan sahaja kepada ahli akademik tetapi juga masyarakat umum.
"Antara impak besar adalah inisiatif dalam bidang Sains, Teknologi dan Inovasi di mana kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM400 juta khusus bagi tujuan penyelidikan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu Ahmad Fauzi berkata, kerajaan juga menyokong usaha penyelidikan dengan menyediakan inisiatif penggalakan cukai bagi aktiviti pengkomersialan hasil penyelidikan berasaskan bukan sumber kepada universiti awam.
"Langkah ini juga turut diperluaskan kepada institusi pengajian tinggi swasta dalam usaha memperkasakan ekosistem penyelidikan di negara ini.
"Justeru perhatian diberi kerajaan terhadap infrastruktur dan peralatan penyelidikan dengan bajet RM50 juta adalah tepat sekali kerana rata-ratanya telah berusia dan memerlukan penyelenggaraan," katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Fauzi berkata, kolaborasi antara kerajaan, komuniti, industri dan akademik secara tidak langsung akan meningkatkan ekonomi negara melalui aktiviti perundingan, pengkomersilan dan latihan profesional selain meningkatkan jumlah penerbitan berimpak melalui dana yang diberi kerajaan.
"Penekanan diberi kerajaan terhadap Revolusi Industri 4.0 dengan peruntukan RM20 juta kepada bidang kecerdasan buatan atau AI dan robotik dalam kalangan belia secara tidak langsung dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan.
"Menerusi pelbagai inisiatif diberi kerajaan dalam konteks penyelidikan, langkah ini mampu melahirkan lebih ramai penyelidik yang akan beri manfaat dan bergerak selaras dengan keperluan negara," katanya.