Sukma, Para Sukma 2020 Johor ditunda lagi

Iklan
Sukma dan Para Sukma 2020 di Johor sekali lagi terpaksa ditangguhkan akibat penularan wabak Covid-19.

PUTRAJAYA - Sukan Malaysia (Sukma) dan Para Sukma 2020 di Johor sekali lagi terpaksa ditangguhkan akibat ketidaktentuan penularan wabak koronavirus (Covid-19) yang telah memasuki gelombang ketiga di negara ini.

Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, Johor tetap diberikan hak penganjuran untuk edisi 2022 kerana negeri itu hampir 99 peratus bersedia dari segi perancangan, pengurusan, teknikal dan kemudahan pertandingan.

Iklan
Iklan

Reezal Merican berkata, keputusan itu diambil selepas menerima cadangan daripada Sekretariat Sukma Johor dan pihak kerajaan negeri itu (Johor) untuk membatalkan dua temasya tersebut yang dijadualkan pada Mac dan April tahun depan.

"Antara sebab-sebab lain dalam membuat keputusan ini ialah kesukaran menyediakan jaminan keselamatan kesihatan kepada hampir 30,000 orang yang terlibat seperti atlet, jurulatih, pegawai, sukarelawan dan pengurusan tanpa mengambil kira penonton dan peminat sukan.

Iklan

"Dua kali penangguhan sebelum ini telah menyebabkan peningkatan kos pengurusan dan ketidaktentuan tarikh Sukma dan Para Sukma ini memberi tekanan dan kekangan kepada pelaksanaan program latihan atlet negeri-negeri peserta," katanya pada sidang media di pejabatnya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma secara dalam talian hari ini.

Reezal Merican berkata, keputusan itu turut dipengaruhi oleh kalendar temasya sukan tempatan dan antarabangsa pada 2021 yang terlalu rapat dengan beberapa tarikh penting seperti Ramadan dari 13 April hingga 13 Mei; Kejohanan Bola Sepak Euro 2020 (11 Jun-11 Julai), Sukan Olimpik Tokyo (23 Julai-8 Ogos), Paralimpik Tokyo (24 Ogos-5 September) serta Sukan SEA Vietnam pada hujung tahun.

Iklan

Sukma yang sepatutnya berlangsung pada Julai lepas telah ditangguh ke 6 hingga 14 Mac 2021 kerana pandemik itu sebelum dijadualkan semula ke 2 hingga 10 April.

Mengulas lanjut, Reezal Merican berkata, Jawatankuasa Teknikal temasya berkenaan akan meneliti dan mencadangkan semula perubahan-perubahan peraturan yang terlibat, termasuk had umur dan kelayakan penyertaan pada mesyuarat akan datang.

Menurut beliau, pembatalan awal dua temasya itu juga dapat mengurangkan kerugian yang dialami oleh pihak penganjur.

"Kebanyakan kos yang dibelanjakan adalah kos bersifat ‘capital expenditure’, perbelanjaan bersifat prasarana. Saya tak dapat nafikan ada juga kos-kos lain yang terpaksa ditanggung seperti produk yang tertulis Sukma 2020.

"Inilah sebabnya kita mahu lakukannya (batal) sekarang untuk mengelakkan lebih banyak kerugian, tahap kerugian ini masih kecil. Kos kerajaan negeri (Johor) ketika ini diberi keutamaan terhadap aspek keselamatan dan kesihatan rakyat... dua kali penangguhan jadikan kos lebih tinggi," katanya.

Sementara itu, keputusan hari ini juga menyaksikan temasya 2022 yang sepatutnya kembali dianjurkan di Lembah Klang oleh Majlis Sukan Negara (MSN), terpaksa diadakan pada 2024, diikuti edisi seterusnya di Kelantan seperti yang dipersetujui oleh negeri itu.

"Setiap kali Sukma dibuat, perbelanjaan yang dikeluarkan cukup besar membabitkan prasarana dan logistik seperti membina dan menaik taraf kemudahan yang menelan hampir suku bilion, sedangkan kita ada kemudahan yang bertaraf antarabangsa dan canggih di Lembah Klang. Jadi telah dipersetujui untuk dikembalikan ke Lembah Klang," katanya.