KOTA BHARU – Seramai 6,854 kakitangan awam di Kelantan bakal menerima bantuan khas sebanyak RM600.
Perkara tersebut dimaklumkan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob semasa membuat penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan (Belanjawan) di Kompleks Kota Darul Naim, hari ini.
Menurutnya, bantuan khas tersebut turut melibatkan lantikan politik sebanyak RM300 iaitu membabitkan penghulu, kakitangan pegawai halaqah, guru al Quran dan fardu ain, guru sekolah pondok dan sebagainya.
Pada masa sama, Ahmad menasihati seluruh rakyat untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi memastikan penularan pandemik koronavirus (Covid-19) dapat diputuskan.
"Kita juga mesti banyak berdoa, terutama sebagai pemimpin, kita sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), exco, sekurang-kurangnya bacalah doa sebelum subuh dan selepas subuh setiap hari. Insya-ALLAH," katanya.