PKPB: 11 sekatan jalan raya selama 24 jam

Iklan
Kelihatan keadaan lalulintas yang masih terkawal dalam sekatan jalan raya di Jalan Kampung Laut, Chendering, Kuala Terengganu hari ini. (Gambar kecil: Datuk Roslee Chik)

KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu melakukan sekatan jalan raya selama 24 jam di 11 lokasi daripada 29 lokasi yang diaktifkan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa hari ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, daripada jumlah itu, sekatan di 18 lokasi yang selebihnya dilaksanakan secara bergerak.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, tindakan yang sama turut dilakukan di pintu-pintu sempadan daerah dan negeri bagi memantau pergerakan keluar dan masuk dalam usaha membendung penularan koronavirus ( Covid-19).

"Kita hanya membenarkan mereka yang mempunyai alasan yang kukuh untuk melakukan perjalanan rentas negeri dan jika alasan diberikan tidak relevan, kita akan minta mereka berpatah balik.

Iklan

"Selain pemantauan sekatan jalan raya, kita turut membuat tumpuan kepada pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) serta operasi pencegahan jenayah dan kawalan sempadan. Kita juga akan meningkatkan penguatkuasaan pematuhan SOP terutama daripada segi penjarakan fizikal sebagaimana diarahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Seorang anggota polis bertugas sedang meneliti surat kebenaran majikan ditunjukkan oleh seorang pengguna di sekatan jalan raya di Jalan Kampung Laut, Chendering Kuala Terengganu hari ini.

Roslee berkata, seramai 488 orang membabitkan pelbagai agensi ditugaskan dalam PKPB kali ini bagi memberi lebih tumpuan memperketatkan kawalan dan pemantauan di kawasan tumpuan awam bagi memastikan SOP keselamatan seperti penjarakan fizikal diamalkan.

Iklan

Terdahulu, tinjauan Sinar Harian selama hampir sejam di sekatan jalan raya di Kampung Laut di sini kira-kira jam 1 petang tadi mendapati kepatuhan pengguna di laluan tersebut berada pada tahap memuaskan kerana dalam tempoh itu, tiada kelihatan kenderaan diarah berpatah balik.

Kesemua mereka memakai pelitup muka dan bagi yang menaiki kereta, didapati kebanyakannya hanya dua individu berada di dalamnya selain bagi yang memberi alasan bekerja, masing-masing dapat menunjukkan surat kebenaran majikan setiap kali diminta.