MELAKA - Tindakan seorang wanita yang cuba menyorok gelang merah jambu di sebalik jaket yang dipakai telah disedari seorang pengawal keselamatan di sebuah kompleks membeli-belah di Bachang di sini semalam.
Dalam kejadian jam 6.45 petang itu, wanita yang bekerja sebagai operator kilang datang ke kompleks tersebut bersama seorang saudara lelaki dan memberi alasan ke premis itu untuk membeli barang bagi persiapan Deepavali.
Pengawal keselamatan berusia 27 tahun menyedari individu yang mengenakan jaket lengan panjang berwarna hijau memakai 'gelang pink' ketika dia membuat rondaan di hadapan sebuah kedai kasut sebelum mengarahkan individu itu keluar dari bangunan terbabit lalu menghubungi Balai Polis Batu Berendam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, individu berusia 33 tahun itu disahkan berstatus di bawah Pengawasan (PUS) koronavirus (Covid-19), bagaimanapun keputusan PUS yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah negatif.
Menurutnya, individu yang beralamat di Batu Berendam itu akan hadir ke balai polis selepas tempoh kuarantin berakhir pada 12 November ini.
"Anggota kita turut mengambil butiran pengenalan diri wanita terbabit dan telah mengarahkan dia pulang ke rumah untuk menyambung kuarantin.
"Individu itu juga telah diiringi pihak polis ketika pulang ke rumah untuk memastikan dia benar-benar pulang ke rumahnya," katanya.
Semalam, tular di media sosial, Facebook gambar individu itu yang memakai 'gelang pink' ketika berada di kawasan kompleks membeli-belah terbabit.
Perbuatan individu itu bukan sahaja menimbulkan kebimbangan orang ramai malah turut menerima kecaman dan kemarahan netizen disebabkan sikapnya yang tidak peka dengan keadaan sekarang lebih-lebih lagi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKBP) yang mula dilaksanakan di Melaka hari ini.