PENAMPANG - [DIKEMAS KINI] Walaupun sudah hampir sebulan daerah di seluruh Sabah dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), namun masih ada individu didapati degil tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Ia susulan masih ada individu dikenakan kompaun kerana melakukan aktiviti yang tidak dibenarkan semasa tempoh PKPB termasuk beriadah atau bersukan ketika berada di luar.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, walaupun hebahan menerusi pelbagai variasi platform dibuat namun masih terdapat individu degil.
Katanya, terbaru pihaknya mengeluarkan kompaun terhadap lapan lagi individu yang ingkar dan melanggar SOP PKPB di dua lokasi berasingan.
"Polis menahan dan mengeluarkan kompaun terhadap seorang lelaki yang sedang melakukan aktiviti sukan riadah berbasikal di Jalan Papar Lama-Lok Kawi Baru semalam.
"Pada masa sama polis mengeluarkan kompaun terhadap tujuh individu di sebuah kafe di Kampung Tembovo, Jalan Penampang Lama, kerana didapati berkumpul dan tiada penjarakkan fizikal," katanya menerusi Facebook Polis Daerah Penampang di sini hari ini.
Mohd Haris berkata, pihaknya sudah memaklumkan berulang kali bahawa sebarang aktiviti sukan riadah dan rekreasi tidak dibenarkan sama sekali dalam tempoh PKPB ini.
Begitu juga, pelanggan restoran atau kafe juga tidak dibenarkan untuk makan di premis menjual makanan.
"Perbuatan itu jelas menunjukkan mereka seolah-olah 'kebal' dengan tindakan undang-undang dan sengaja tidak mematuhi peraturan ditetapkan.
"Semua individu terbabit masing-masing dikenakan kompaun RM1,000 atas kesalahan melanggar Peraturan -Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (LLDKJ) (No 8) 2020," katanya.
Sehubungan itu, Mohd Haris menegaskan orang awam supaya sentiasa mematuhi SOP PKPB.
Katanya, ia adalah untuk kepentingan masyarakat semua agar rantaian wabak koronavirus (Covid-19) dapat diputuskan.
Terdahulu, SOP PKPB Sabah tidak membenarkan aktiviti beriadah termasuk bersukan seperti berbasikal, bersenam dan SOP ini hanya terpakai di Sabah sahaja.