IPOH - Sebanyak 51 sekatan jalan raya (SJR) dilaksanakan di seluruh Perak pada hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hari ini.
Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Goh Boon Keng berkata, daripada jumlah itu, 28 daripada merupakan SJR di sempadan daerah manakala selebihnya SJR di sempadan negeri.
Iklan
Iklan
Menurutnya, sejumlah 1,800 pegawai polis seluruh kontinjen Perak digerakkan melibatkan 450 pasukan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi kedua-dua SJR tersebut.
"Polis Perak juga mengambil inisiatif untuk melakukan hebahan berkaitan pematuhan SOP melalui pasukan kereta peronda polis yang meronda di kawasan penugasan.
"Secara keseluruhannya, sejumlah 5,700 pegawai polis boleh diatur gerak bagi melaksanakan tugas-tugas pemantauan dan pematuhan PKPB di seluruh Perak," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sementara itu, Boon Keng menasihatkan semua pihak supaya mematuhi setiap SOP dan peraturan ditetapkan.
Jelasnya, pematuhan SOP serta kawalan kendiri dalam kalangan masyarakat sangat penting dalam usaha memerangi penularan pandemik Koronavirus (Covid-19).