Pakar kesihatan beri amaran jangan balik kampung

Iklan
Tinjauan semalam mendapati tiket bas ke Kelantan 'laku keras' berikutan pengumuman PKPB selama sebulan di semua negeri di Semenanjung kecuali Kelantan, Pahang dan Perlis. - Gambar hiasan (Mohd Dzulkhairi, Sazaly)

SHAH ALAM - Pakar-pakar kesihatan awam memberi amaran kepada warga kota agar tidak pulang ke kampung ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi mengelak penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Amaran itu diberikan selepas tinjauan media tempatan semalam mendapati tiket-tiket bas ke dua negeri Pantai Timur, Kelantan dan Pahang serta ke utara iaitu Perlis habis dijual ekoran ketiga-tiga negeri ini belum dilaksanakan PKPB.

Iklan
Iklan

Pakar Perubatan Kesihatan Awam daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani, berkata, apabila diumumkan PKPB di negeri-negeri semenanjung kecuali Kelantan, Pahang dan Perlis, orang awam hendaklah kekal di tempat mereka berada.

Menurutnya, pergerakan ke negeri tersebut boleh menjadikan jumlah kes meningkat jika mereka yang merentas negeri didapati positif Covid-19, bahkan banyak kes positif membabitkan individu yang tidak bergejala.

Iklan

"Keadaan lebih buruk lagi jika mereka kembali ke kampung yang rumah turut didiami golongan yang berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan yang teruk seperti ibu bapa, datuk, nenek atau saudara warga emas.

"Dikhuatiri mereka yang berpenyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, sakit jantung juga mungkin akan dijangkiti dan jangkitan wabak terhadap golongan warga emas ini boleh membawa maut jika sistem pertahanan tubuh mereka tidak kuat," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Iklan

Mohd Dzulkhairi berkata, tindakan yang boleh dilakukan selain daripada pulang ke kampung terutamanya di luar zon PKPB adalah mencari peluang pekerjaan atau perniagaan di tempat semasa.

"Harus diingat, pada bila-bila masa juga di Kelantan, Perlis dan Pahang boleh diumumkan PKPB jika jumlah kes meningkat dan luar kawalan.

"Ini dibuktikan individu yang mempunyai sejarah pulang daripada kawasan wabak di Sabah pulang ke Semenanjung dan menyebabkan penyebaran jangkitan di beberapa negeri terutamanya di Lembah Klang.

"Nasihat saya, kekal sahaja di tempat kita berada, kekalkan jarak fizikal serta ikut prosedur operasi strandard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya.

Sementara itu, pakar virologi, Profesor Dr Sazaly Abu Bakar daripada Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM) berkata, orang ramai tidak sepatutnya merentas keluar dari kawasan yang ada penularan memandangkan ia akan menyumbang kepada penularan ke zon yang masih hijau.

"Jika mereka pulang terutamanya mereka yang datang dari zon merah, maka sudah tentu akan menyebabkan wabak Covid-19 kian menular.

"Sepatutnya tiada lagi perkumpulan yang melibatkan lebih dari 10 orang di mana-mana sahaja," katanya.