Kamala representasi kuasa politik wanita

Iklan
Kamala Harris cipta sejarah apabila menjadi Naib Presiden AS wanita pertama di negara itu.

BELUM pernah lagi dalam sejarah Amerika Syarikat (AS) negara itu memiliki wanita sebagai Naib Presiden, namun tembok gender berkenaan diruntuhkan oleh Senator California, Kamala Devi Harris.

Regu kepada Presiden AS yang baharu, Joe Biden itu juga melakarkan sejarah istimewa sebagai keturunan kulit hitam dan Asia yang pertama menduduki jawatan kedua tertinggi di negara berpendudukan lebih 330 juta orang itu.

Iklan
Iklan

Kamala, 55, yang juga keturunan India di sebelah ibunya dan Jamaica di sebelah bapanya, mewakili identiti unik Amerika Syarikat di tengah-tengah pilihan raya Presiden yang dipenuhi dengan pelbagai isu polarisasi.

Menyedari latar belakangnya sebagai anak imigran yang bakal berdepan pelbagai kekangan, pesanan ibunya, Shyamala Gopalan sentiasa digenggam. Antara ayat sering diucapkan Shyamala kepada Kamala adalah:"Anda mungkin yang pertama melakukan banyak perkara, tetapi pastikan anda bukan yang terakhir.”

Iklan

Pada majlis meraikan kemenangan bersama Biden di Chase Center, Wilmington, Delaware, Kamala mengulangi kata-kata itu dengan menegaskan bahawa beliau tidak mahu hanya dirinya menjadi satu-satunya wanita menjawat jawatan sebagai Naib Presiden AS.

Kerjayanya dalam perkhidmatan awam menunjukkan wanita pencinta kasut Converse itu tidak pernah menoleh ke belakang.

Iklan

Menelusuri portfolionya, beliau merupakan individu kulit hitam pertama dipilih sebagai Peguam Daerah San Francisco (2002) dan wanita kulit hitam serta Asia pertama menjadi Pendakwa Raya California (2010).

Beliau mula dipilih sebagai Senator sejak tahun 2016. Pada awal kemunculannya dalam arena politik AS, dirinya mendapat sokongan banyak pihak termasuk Presiden Barack Obama and Biden sendiri.

Kelas pertama

Dilahirkan di Oakland, California pada 20 Oktober 1964, Kamala adalah anak kedua daripada dua beradik perempuan.

Ayahnya, Donald Harris yang juga seorang profesor ekonomi berpisah dengan ibunya, seorang penyelidik kanser payudara semasa Kamala berusia lima tahun.

Kamala memiliki Ijazah Sains Politik dan Ekonomi dari Howard University, Washington D C selain University Of California dalam jurusan Ijazah Undang-Undang.

Menyoroti kerjayanya sebagai Senator California, beliau antara pengkritik utama Presiden Donald Trump dalam pelbagai isu termasuk isu pengharaman kemasukan penduduk daripada beberapa negara Islam ke AS, polisi keras terhadap imigran termasuk kegagalan menangani pandemik Covid-19.

Begitupun, ramai yang terkejut apabila Biden memilih Kamala sebagai gandingannya. Ini kerana pemimpin bersuara lantang itu secara terang-terangan mengkritik Biden secara lantang ketika sesi debat pemilihan parti Demokrat, sebelum memilih keluar daripada ‘perlumbaan’.

Pun demikian, Biden yang memiliki jiwa besar menyatakan, beliau tidak menyimpan dendam, malah menggambarkan Kamala sebagai ‘intelektual kelas pertama, calon kelas pertama dan pesaing sebenarnya.

Selain itu, antara sebab Biden memilih Kamala adalah kerana kerjasama profesional wanita elegan itu bersama mendiang anaknya, Beau. Ketika bersama Beau, Kamala telah mempamerkan prestasi cemerlang dalam perkhidmatan awam.

Pemilihan Kamala juga bertepatan dengan isu 'Black Lives Matter' yang telah berlarutan terlalu lama. Kehadiran tokoh wanita yang dilihat gemar kepada warna-warna pastel dapat dijadikan sandaran bagi membela nasib kulit hitam di AS. Populasi Afrika-Amerika di sana mencecah 44 juta orang.

Bagaimanapun, peranan paling penting yang digalas Kamala sebagai gandingan Biden adalah representasi terhadap jutaan wanita yang selama ini terpinggir dalam politik AS, walaupun wanita memiliki demografik yang besar iaitu kira-kira 51.1 peratus di negara Uncle Sam itu.

Ya, seluruh dunia kini sedang menanti sama ada wajah baharu AS yang dibawa oleh Biden dan Kamala mencukupi untuk membaiki polarisasi yang berlaku selama ini dalam pentadbiran Trump dan rakyat AS dapat disatukan semula.

* Mazlina Abdul Majid ialah Editor Content Lifestyle (Rencana), SinarPlus Sinar Harian.