SAINGAN TM Piala Malaysia yang kini sudah memasuki peringkat suku akhir perlu dibatalkan demi menjaga keselamatan dan kesihatan semua pihak terlibat berikutan ancaman pandemik koronavirus (Covid-19) di negara ketika ini.
Menurut mantan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong, pembatalan Piala Malaysia kali ini wajar dibuat memandangkan kerajaan mengumumkan penangguhan kejohanan bola sepak berprestij itu ke satu tarikh lain.
"Bagi saya, batalkan Piala Malaysia tahun ini. Dalam keadaan situasi sekarang, takkanlah nak tunggu ada kes kematian melibatkan pemain bola sepak, baru nak buat keputusan? Kita kena fikirkan keselamatan semua pihak.
"Ingin saya tegaskan di sini, tak payah tangguh, batalkan terus Piala Malaysia. Kalau tangguh kita tak tahu sampai bila dan menyusahkan orang lain untuk membuat persiapan.
"Sebaik-baiknya batalkan (Piala Malaysia) dan tunggu musim depan sahajalah. Itulah yang sepatutnya menjadi pertimbangan utama pihak yang berkenaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
Pada masa sama, Zolkples berkata, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mahupun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sepatutnya membuat keputusan lebih awal untuk membatalkan saingan Piala Malaysia musim ini.
"Kenapa perlu tunggu pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) buat keputusan sedangkan mereka (MKN dan KKM) ada banyak lagi perkara yang lebih penting untuk difikirkan.
"Sepatutnya MKN mahupun KKM tak perlu fikir langsung mengenai bola sepak. Apa sekalipun, saya tetap tegaskan baik batalkan Piala Malaysia demi kebaikan semua pihak.
"Lagi pun, ketika Sabah ‘dibatalkan’ penyertaan kerana negeri itu masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), sekarang kenapa tak buat keputusan yang sama apabila kerajaan umumkan seluruh negara dikenakan PKPB?
"Tak ada ruginya pun. Kalau ada penaja, kenalah pandai kawal situasi. Nak kena bayar balik semula, itu masalah MFL dan FAM tetapi keutamaan terhadap keselamatan pemain perlu diutamakan,” tegasnya.
Terdahulu, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media semalam mengeluarkan kenyataan bahawa saingan Piala Malaysia 2020 ditangguhkan ke satu tarikh lain.
Beliau memaklumkan, kerajaan membuat keputusan tersebut kerana sukan bola sepak banyak membabitkan sentuhan yang tidak dapat dielakkan, sekali gus mengundang bahaya kepada pemain.