IPOH - Operasi mencari dan menyelamat dua individu yang dikhuatiri terperangkap dalam kejadian tanah runtuh di sebuah vila di Tambun di sini awal pagi tadi masih diteruskan.
Sehingga jam 9.30 pagi tadi, operasi tersebut masih giat dijalankan melibatkan bantuan pelbagai agensi antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan beberapa agensi lain.
Media bagaimanapun tidak dibenarkan masuk oleh pihak pengurusan vila tersebut ke lokasi kejadian.
Berdasarkan pemerhatian, beberapa jentera bomba dan penyelamat Perak dan kenderaan polis memasuki kawasan kejadian seawal jam 7 pagi.
Tidak lama selepas itu, ambulans dan trak polis dilihat melintasi pintu masuk ke kawasan vila tersebut.
Dua jengkaut milik JKR turut masuk ke kawasan tanah runtuh dipercayai untuk membantu kerja-kerja menyelamat.
Terdahulu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan, panggilan kecemasan kejadian itu diterima pada jam 1.28 pagi membabitkan seorang lelaki berusia 39 tahun dan wanita dipercayai pasangannya berusia 32 tahun.
ARTIKEL BERKAITAN: Dua dikhuatiri terperangkap tanah runtuh