KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah akan membincangkan semula keperluan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pangsapuri Mutiara Kasih dan Taman Khazanah Indah di Lahad Datu yang dilanjutkan lagi bermula hari ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, pihaknya mengambil maklum dan memahami keadaan penduduk yang sudah lama terkurung akibat PKPD yang dilaksanakan di dua lokaliti itu.
Menurutnya, kerajaan akan berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) untuk menilai semula pelaksanaan PKPD di kawasan berkenaan.
"Saya memahami perasaan mereka yang terkurung lama, saya juga mengambil kira perakuan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Saya akan meminta MKN Sabah dan JKNS untuk menilai semula keadaan di situ dan dilaporkan dalam mesyuarat MKN yang seterusnya," katanya dalam sidang media di Wisma Innoprise semalam.
Sehubungan itu, Masidi berharap penduduk bertenang kerana keputusan yang diambil itu adalah mengambil kira kebaikan secara keseluruhan.
"Saya tidak fikir KKM membuat keputusan sengaja untuk memudaratkan dan menyusahkan orang ramai. Kita berhadapan dengan satu cabaran wabak koronavirus (Covid-19) yang cukup menggerunkan dan Sabah masih merupakan negeri yang paling banyak terkesan dengan penularan Covid-19.
"Buat sementara waktu, kita tunggu penilaian semula daripada pihak berkenaan, jadi saya harap penduduk bersabar," katanya.
Terdahulu, kedua-dua lokaliti itu dikenakan PKPD bermula 13 Oktober lalu kemudian dilanjutkan lagi bermula 27 Oktober lalu dan sepatutnya berakhir semalam.
Bagaimanapun, Masidi memaklumkan berdasarkan penilaian KKM, masih terdapat peningkatan kes positif Covid-19 di kedua-dua lokaliti itu dan atas nasihat KKM, Sidang Khas MKN semalam bersetuju untuk melanjutkan PKPD selama 14 hari bermula hari ini sehingga 23 November.
Pada masa sama, tular satu video berdurasi 13 saat berhubung satu bantahan dilakukan penduduk dipercayai berlaku di Pangsapuri Mutiara Kasih berikutan lanjutan perintah PKPD di dua lokaliti itu.