Little India Ipoh lengang menjelang sambutan Deepavali

Iklan
Kelihatan pekerja sebuah premis di Little India, termenung ekoran ketiadaan pelanggan yang datang untuk membeli di premisnya semalam. - Foto Bernama

IPOH - Suasana lengang tanpa kehadiran pengunjung di kawasan Little India di sini susulan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Perak, tidak menghalang peniaga menjalankan operasi seperti biasa tambahan pula perayaan Deepavali bakal menjelang beberapa hari lagi.

Tinjauan Bernama mendapati, kawasan Little India, Ipoh di Jalan Lahat yang lazimnya meriah setiap kali sambutan Deepavali kerana menjadi tumpuan penganut Hindu untuk mendapatkan pakaian baharu selain kelengkapan perayaan, kini berubah 'wajah’.

Iklan
Iklan

Rata-rata peniaga yang ditemui mengeluh kerana hasil jualan terlalu sedikit berbanding tahun-tahun sebelum ini, namun akur kerana perintah PKPB yang dikenakan di negeri ini sejak semalam adalah untuk kebaikan bersama demi mengekang penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Bagi peniaga pakaian, Surinderjit Singh, 52, yang mengusahakan perniagaan itu bersama isteri, Harbhajan Kaur, 56, sejak 15 tahun lalu, pelanggan yang mengunjungi premisnya untuk musim perayaan kali ini bukan hanya membeli dalam kuantiti sedikit tetapi turut memilih harga pakaian yang lebih murah.

Iklan

"Deepavali kali ini kurang sambutan...dahulu orang beli dua atau tiga pasang pakaian tetapi sekarang hanya sepasang seorang disebabkan tidak boleh keluar untuk menyambut perayaan, bajet pelanggan pun kurang," kata bapa kepada empat anak lelaki itu.

Keadaan itu menyebabkan beliau terpaksa menjual koleksi pakaian seperti Kurti, Sari, sut Punjabi, skirt Lengga dan fesyen terbaharu Palazo Kurta Gownyang yang diimport dari Mumbai, India secara dalam talian antara harga RM25 hingga RM250 dengan dibantu anak ketiganya Prempal Singh, 25.

Iklan

Tinjauan juga mendapati setiap premis mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dengan menyediakan termometer, pensanitasi tangan dan kod QR selain tiada khemah karnival di kawasan itu seperti lazimnya.

Malah, perniagaan kuih tradisional masyarakat India seperti muruku, vadai, dan ladoo turut berkurangan.

Menurut seorang pengunjung Manjit Kaur Randev, 41, beliau berseorangan ke Little India untuk membeli pakaian sendiri dan keluarga demi mematuhi arahan PKPB.

"Kami tidak ada semangat untuk menyambut Deepavali kali ini, jadi saya hanya membeli sepasang pakaian untuk diri saya dan keluarga. Lebih-lebih lagi ramai ahli keluarga di Lembah Klang tidak dapat pulang ke sini untuk menyambut perayaan itu,” katanya. - Bernama