IPOH - [DIKEMAS KINI] Dua mangsa yang terperangkap dalam kejadian tanah runtuh di sebuah vila di Tambun, di sini awal pagi tadi berjaya ditemukan.
Mangsa pertama, seorang lelaki berusia 39 tahun ditemukan jam 9.55 pagi manakala mangsa kedua seorang wanita berusia 32 tahun ditemukan 10 minit kemudian.
Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Goh Boon Keng berkata, kedua-dua mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia.
Menurutnya, mangsa ditemukan di dalam jakuzi vila tersebut dan mereka berada berdekatan antara satu sama lain.
"Kedua-dua mereka warga tempatan berumur dalam lingkungan 30-an. Runtuhan tanah telah menimpa ruangan jakuzi di vila tersebut.
"Kejadian disedari pekerja hotel jam 1 pagi dan mengarahkan penghuni untuk mengosongkan vila tersebut namun dua yang terperangkap tidak dapat dihubungi," katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi kejadian di Tambun di sini.
Hadir sama pada sidang media itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Azmi Osman dan Timbalan Pengarah (Geosains) Jabatan Mineral dan Geosains Perak, Mat Niza Abdul Rahman.
Boon Keng berkata, runtuhan tersebut hanya membabitkan sebahagian vila berkenaan dan hanya berlaku di satu cerun.
Sementara itu, Azmi berkata, secara keseluruhannya operasi mencari dan menyelamat melibatkan 47 orang bersama Unit Anjing Pengesan (K9) seramai enam anggota dan dua ekor anjing.
Katanya, kejadian tanah runtuh itu dipercayai disebabkan hujan dan pergerakan struktur tanah dengan ketinggian kira-kira satu meter.
Beliau berkata, kawasan pencarian juga agak kecil iaitu di bahagian jakuzi di vila tersebut dan proses pencarian berjalan lancar.
Dalam pada itu, Mat Niza memaklumkan kejadian tersebut berlaku disebabkan hujan lebat menyebabkan tanah yang berada di atas batu kapur tersebut runtuh.
"Apabila hujan lebat seperti semalam, air hujan melemahkan tanah dan apabila tanah lemah berlaku tanah runtuh.
"Kemungkinan berlaku semula kejadian runtuhan itu ada tetapi bergantung kepada kekuatan tanah.
"Kita akan membuat kajian berkenaan kejadian dan ini merupakan insiden pertama berlaku di kawasan tersebut," katanya.
Terdahulu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan, panggilan kecemasan kejadian itu diterima pada jam 1.28 pagi membabitkan seorang lelaki berusia 39 tahun dan wanita dipercayai pasangannya berusia 32 tahun.
ARTIKEL BERKAITAN: Dua dikhuatiri terperangkap tanah runtuh