PROSPEK berjaya tingkat pendapatan penduduk

Iklan
Mohd Zulkifli menghasilkan silaj batang jagung untuk dijadikan makanan tambahan haiwan ternakan.

KULIM - Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) Sidam melibatkan membabitkan sebanyak 10 kampung yang dilaksanakan sejak tahun 2018 berjaya menjana pendapatan lebih RM500,000.

Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda), Kamarudin Abd Akib berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM477,000 pendapatan berjaya diperoleh daripada projek tanaman jagung.

Iklan
Iklan

Menurutnya, peserta lain yang menjalankan perniagaan kecil antaranya industri kecil dan sederhana (IKS) seperti pemprosesan bahulu, pekasam, produk sejuk beku, makanan burung, kraf sangkar dan jebak, bot fiber, bengkel besi dan katering berjaya meningkatkan pendapatan antara RM300 hingga RM1,100 sebulan.

"Kita melihat implikasi ketara kejayaan PROSPEK melibatkan keseluruhan 86 peserta di samping 19 projek prasarana asas yang dapat dimanfaatkan oleh seramai kira-kira 20,000 penduduk Sidam,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bantuan PROSPEK Sidam Tahun 2020 yang dirasmikan oleh Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Insan dan Pembasmi Kemiskinan Kedah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merbau Pulas, Datuk Siti Ashah Ghazali di Pusat Kegiatan Ekonomi (PKE) Sidam Kanan, Padang Serai di sini semalam.

Che Pora gembira menerima bantuan rumah Keda yang siap pada November 2019.

Kamarudin berkata, dari tahun 2018, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) melalui Keda telah membelanjakan sebanyak RM3.065 juta untuk melaksanakan PROSPEK berdasarkan tiga komponen terbabit iaitu ekonomi, perumahan dan prasarana asas.

Iklan

"Hasil analisis kajian dan impak yang telah dilaksanakan Keda menunjukkan bahawa projek ini memberikan manfaat kepada peningkatan hampir 30 peratus selepas setahun menerima bantuan ini.

"Kewujudan Pusat Kegiatan Ekonomi (PKE) di Sidam ini telah menjadi hub utama kerancakan aktiviti ekonomi penduduk setempat,” katanya.

Sementara itu, Siti Ashah berkata, PROSPEK dilihat membantu mengurangkan kadar kemiskinan luar bandar melalui program peningkatan pendapatan, meningkatkan kualiti hidup serta menaik taraf kemudahan prasarana di kampung terlibat.

"Kementerian Pembangunan Luar Bandar diharapkan boleh menambah pilihan kampung-kampung lain yang berpotensi di Kedah,” katanya.

Sementara itu, penerima bantuan rumah, Che Pora Ahmad, 49, berkata, dia bersyukur kerana dapat mendiami rumah yang selesa memandangkan keadaan rumah yang uzur sebelum ini.

Siti Ashah mendengar penerangan oleh kakitangan Keda tentang kejayaan yang dicapai penduduk dalam projek Prospek Sidam di Pusat Kegiatan Ekonomi (PKE) Sidam Kanan, Padang Serai semalam.

"Sekarang selesa sangat sebab dulu rumah selalu bocor kalau hujan dan banjir, bila ada rumah baharu, dah tak kena alih barang-barang setiap kali hujan lebat,” katanya.

Mohd Zulkifli Ahmad, 33, pula memanfaatkan batang pokok jagung yang akan ditebang untuk menghasilkan silaj iaitu makanan tambahan bagi haiwan ternakan dan mengurangkan beban penternak memandangkan silaj dijual pada harga berpatutan iaitu RM10 bagi 30 kilogram.

"Saya bersyukur dapat menjalankan projek kecil-kecilan menghasilkan produk dari bahan terbuang yang dapat membantu petani terutama pengusaha jagung dan penternak yang dipasarkan ke Kedah dan Pulau Pinang.

"Sebelum ini, saya terpaksa menggunakan garaj kereta untuk memproses silaj namun selepas bantuan bengkel dan mesin pemotong oleh Keda, telah memudahkan dan mempercepatkan kerja-kerja saya sehingga mampu menghasilkan kira-kira 10 hingga 15 tan silaj sebulan,” katanya.

Sulaiman Pin dari Kampung Guar Lobak merupakan seorang usahawan bimbingan Keda menghasilkan kraf jebak dan sangkar.

Selain itu, pembekal daging puyuh, Shamsuddin MK Abd Rahman, 50, berkata, beliau mampu memenuhi pasaran 10,000 ekor sebulan ke beberapa negeri di utara dan pantai timur selepas menerima bantuan Keda khususnya mesin dan peralatan memproses.

"Terima kasih kepada Keda bantu saya dalam mengembangkan perniagaan sekaligus meningkatkan pendapatan apabila pengeluaran juga bertambah,” katanya.

Konsep projek ini hasil ilham KPLB yang menekankan pembangunan ekonomi in-situ (in-situ economic development).