PUTRAJAYA - Tun Dr Mahathir Mohamad menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan beliau ibarat boneka dalam kerajaan PH.
Menjawab soalan wartawan selepas mempengerusikan mesyuarat majlis presiden PH, Dr Mahathir juga menafikan dakwaan bahawa kerajaan dikuasai oleh DAP.
"I disagree, i'm not a puppet," ujar Dr Mahathir.
Sementara itu, Dr Mahathir turut diminta mengulas mengenai kajian nadi Melayu yang menyimpulkan hampir 60 peratus kaum Melayu tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan PH.
Dr Mahathir berkata, tinjauan itu tidak tepat sebaliknya ia hanya dijadikan bahan oleh parti pembangkang untuk mengelirukan rakyat.
"Ada peratusan kecil yang tidak berpuas hati dengan kami, tetapi sudah pasti tidak sampai 60 peratus.
Mereka juga menggunakan dapatan ini bahawa PH dikawal DAP dan saya hanya boneka, saya tidak pernah menjadi boneka," katanya.
Tambahnya, beliau sudah mengadakan banyak perjumpaan dengan orang Melayu, dan mereka boleh menerima.
"Ini adalah sebahagian daripada kempen pembangkang untuk memburukkan kami," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Lebih 60 peratus Melayu tidak puas hati prestasi kerajaan