PENGENDALI Perancis, Didier Deschamps mendedahkan Paul Pogba tidak gembira bersama Manchester United ketika ini selepas pemain itu terus gagal menyinar dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Menurut Deschamps, Pogba sangat cemerlang ketika bersama pasukan antarabangsa Perancis itu pada aksi antarabangsa lalu, namun gagal menyerlah bersama The Red Devils.
"Saya tidak ada nasihat untuk diberikan kepadanya. Dia tahu dengan baik keseluruhan pasukan United dan telah bermain beberapa tahun di sana.
"Cuma, dia dalam situasi yang mana dia tidak berpuas hati dengan waktu bermain dan posisinya di kelab tersebut. Ia menyumbang kepada masalah prestasinya.
"Malah, dia turut mengalami kecederaan demi kecederaan selain pandemik Covid-19 yang turut memberikan kesan kepada persembahannya. Dia perlu mencari rentak secepat mungkin.
"Bulan lalu dia bermain dengan agak baik bersama Perancis tetapi anda tahu dia tidak gembira sepenuhnya," katanya.
Pemain berusia 27 tahun itu gagal berada dalam kesebelasan utama pasukan dalam beberapa perlawanan sebelum ini dengan faktor kecederaan dan kecergasan menjadi punca utama dia gagal menyinar.
"Saya tidak ada masalah dengannya. Saya akan pastikan dapat menguruskannya dengan baik. Memang tidak muda untuk berada dalam situasinya ketika ini.
"Saya perlu bercakap dengannya dan dia akan beritahu beberapa perkara dan bagaimana perasaannya ketika ini. Saya pula akan cuba membantunya. Apa yang penting dia perlu terus mencuba untuk meningkatkan moral dan tahap permainannya," kata Deschamps.