IPOH - The Banjaran Hotsprings Retreat mengesahkan kejadian tanah runtuh yang mengorbankan dua nyawa dan menjejaskan struktur satu daripada vilanya awal pagi hari ini.
Pihak pengurusan pusat peranginan itu dalam satu kenyataan berkata, kedua-dua mangsa dijumpai berhampiran jakuzi dalam vila terbabit oleh anggota bomba yang menjalankan operasi menyelamat pada jam 10 pagi.
"Kami kesal dengan kejadian ini yang berlaku sekitar jam 1 pagi tadi.
"Kami bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa menghubungi keluarga kedua-dua mangsa yang juga merupakan tetamu resort ini dan memberikan setiap sokongan serta bantuan diperlukan," katanya.
Kenyataan sama turut memaklumkan bahawa tiada tetamu dan kakitangan lain yang terjejas atau tercedera dalam insiden itu, kesemua mereka telah dipindahkan ke kawasan yang selamat.
Katanya, pengurusan resort telah memenuhi semua syarat keselamatan dan protokol yang ditetapkan pihak berkuasa serta beroperasi mengikut standard antarabangsa.
"Kesihatan dan keselamatan tetamu serta semua kakitangan adalah menjadi keutamaan.
"Kami tidak dapat memberikan ulasan lebih lanjut kerana siasatan polis sedang dijalankan," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Identiti dua mangsa tanah runtuh di Tambun dikenal pasti
Mangsa terperangkap tanah runtuh ditemukan
Dua dikhuatiri terperangkap tanah runtuh