Ketiadaan Pesuruhjaya Tinggi di Singapura bukan isu besar

Iklan
Hishammuddin pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Penyelaras ASEAN (ACC) sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-37 di Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Hubungan dua hala Malaysia-Singapura berjalan lancar dan tidak terjejas dengan ketiadaan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke republik itu.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Malaysia masih dalam proses melantik Pesuruhjaya Tinggi baharu ke Singapura susulan persaraan Datuk Zainol Rahim Zainuddin pada April.

Iklan
Iklan

"Proses pelantikan Pesuruhjaya Tinggi atau Duta Besar membabitkan banyak saringan bukan hanya di pihak Malaysia malah di pihak negara tuan rumah.

"Jadi proses ini yang membabitkan Singapura masih berlangsung. Paling penting dengan atau tanpa kehadiran Pesuruhjaya Tinggi, tugas kita berjaya disempurnakan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri beberapa mesyuarat berkaitan sidang kemuncak ASEAN ke-37 di sini hari ini.

Iklan

"Seperti yang anda boleh lihat, pembangunan laluan hijau kita serta pergerakan orang ramai antara Malaysia dan Singapura adalah tidak terjejas sama ada kita mempunyai Pesuruhjaya Tinggi atau tidak. Jadi, ia bukan satu isu,” katanya.

Beliau berkata, pergerakan rakyat merentas Tambak Johor, pembukaan sempadan dan langkah meneliti gelembung perjalanan bagi sektor pelancongan telah berjalan dengan atau tanpa kehadiran Pesuruhjaya Tinggi.

Iklan

Hishammuddin berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohd Solihan Badri hari ini agar jawatan itu perlu segera diisi bagi memudahkan penyelesaian isu membabitkan rakyat Malaysia di republik tersebut.

Terdahulu, Hishammuddin menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN, Mesyuarat Majlis Komuniti Politik-Keselamatan ke-22 ASEAN dan Mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN ke-28.

Isu yang telah dibincangkan termasuk berkaitan Laut China Selatan, perkembangan di wilayah Rakhine di Myanmar, isu Palestin, ancaman bukan tradisional dan usaha menangani landskap dunia baharu pasca pandemik Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-37 secara maya dari ibu kota bermula Khamis hingga Ahad ini.

Persidangan tahun ini, yang dihoskan Vietnam, terpaksa diadakan secara maya berikutan penularan pandemik Covid-19. - Bernama