Tak wajib imbas MySejahtera jika tidak masuk kedai stesen minyak

Iklan
Ismail Sabri pada sidang akhbar perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Wisma Pertahanan Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Pelanggan yang tidak memasuki kedai stesen minyak untuk membuat transaksi pembayaran bagi mengisi minyak adalah tidak diwajibkan mengimbas kod MySejahtera.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia melibatkan individu yang membuat transaksi menggunakan kad kredit dan debit serta aplikasi dalam talian dan membayar melalui tingkap 'pigeon hole’ serta mereka yang mengisi angin tayar dan menggunakan khidmat cuci kereta secara automatik.

Iklan
Iklan

Katanya, bagi individu yang melakukan pembayaran atau transaksi di dalam kedai di stesen minyak sama ada untuk membuat pembayaran petrol, pembelian barangan dan mengeluarkan duit di ATM, perlu mendaftar melalui aplikasi MySejahtera atau manual.

"Individu yang menggunakan surau dan tandas juga perlu mendaftar melalui aplikasi MySejahtera atau manual. Begitu juga dengan mereka yang menghantar kenderaan ke bengkel di stesen minyak dan mereka yang menggunakan perkhidmatan cuci kereta secara manual,” katanya pada sidang akhbar perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), di sini hari ini.

Iklan

Katanya, keputusan itu dicapai hasil Mesyuarat Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi isu pelanggan yang perlu mengimbas kod MySejahtera selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sedia ada sebelum memasuki premis tersebut.

Ismail Sabri berkata demikian bagi mengulas mengenai perincian SOP pencegahan Covid-19 di stesen minyak seluruh negara.

Iklan

Sementara itu, mengambil maklum kesulitan dialami ibu bapa berikutan penutupan sekolah dan taman asuhan kanak-kanak (taska) di negeri-negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Ismail Sabri berkata, kerajaan bersetuju memperluaskan arahan bekerja dari rumah membabitkan penjawat awam di seluruh negara.

Katanya, mereka yang tinggal di negeri yang terkecuali daripada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti Perlis, Kelantan dan Pahang juga dibenarkan bekerja dari rumah.

"Timbul isu kesukaran bagi ibu bapa apabila kerajaan umum penutupan sekolah di negeri terlibat PKPB. Oleh itu, mesyuarat hari ini berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan akhirnya kerja dari rumah ini diperluaskan ke seluruh negara termasuk negeri yang tidak di bawah PKPB,” katanya.

Katanya, mereka yang bekerja dalam sektor industri pula perlu menunggu pengumuman lanjut daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berhubung kebenaran bekerja dari rumah. Ismail Sabri berkata, bagaimanapun ia tidak terpakai kepada mereka yang bekerja dalam sektor tidak formal seperti peruncitan, kompleks beli-belah, perladangan dan pertanian. - Bernama